Kategori Berita Utama

SPRM syor peraturan jabatan halang lulus projek kepada kroni

24 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan satu peraturan jabatan yang lebih kemas untuk menghalang ketua menteri, menteri dan menteri besar meluluskan sesuatu projek berkaitan dengan anggota keluarga mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata negara mempunyai perundangan untuk pemimpin negara dan negeri yang meluluskan sesuatu projek kepada anggota keluarga secara terus mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970.

Seksyen itu menyebut mana-mana anggota pentadbiran, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pegawai awam yang melakukan perbuatan rasuah boleh dihukum penjara 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

abukassimsprm“Ada pemimpin memahami aspek teknikal perundangan itu dan mengelaknya dengan setiap mesyuarat kelulusan projek yang membabitkan anggota keluarga mereka, pemimpin itu akan keluar daripada mesyuarat tersebut dan membiarkan jawatankuasa mesyuarat bersidang dan membuat keputusan.

“Keputusan mesyuarat itu memberikan kelulusan kepada anggota keluarga pemimpin itu. Tetapi secara teknikalnya pemimpin itu tidak membuat keputusan tersebut dan tidak menjadi satu kesalahan walaupun dari moralnya ia salah,” katanya.

Abu Kassim berkata demikian pada taklimat bertajuk ‘Berwibawakah SPRM’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan keputusan itu tidak diputuskan oleh pemimpin itu maka ia tidak menjadi satu kesalahan rasuah dan tidak boleh dibuat pendakwaan ke atas pemimpin berkenaan.

“Malangnya orang awam tidak tahu perkara ini dan menunding jari kepada SPRM. Hakikatnya SPRM tidak dapat mengambil tindakan kerana faktor teknikal perundangan,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengesyorkan kepada kerajaan negeri dan pusat agar memperkemaskan peraturan kelulusan sesuatu projek agar tidak lagi membabitkan kroni atau anggota keluarga mana-mana pemimpin.

“Untuk melaksanakan peraturan ini memerlukan iltizam politik peringkat negeri dan pusat serta membolehkan SPRM mengambil tindakan,” katanya.-bernama

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 March 2014 4:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: