Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sri Lanka buka peluang pelaburan luas Malaysia

19 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasminya ke Sri Lanka sangat berjaya dalam membuka ruang dan peluang pelaburan kepada Malaysia ekoran negara itu kini di ambang pemulihan ekonomi.

Katanya, dalam pertemuannya dengan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena semalam, beberapa kata sepakat telah dicapai termasuk usaha merealisasikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

“Saya melihat Sri Lanka sebagai sebuah negara yang banyak selari dengan kita dan mereka kini di ambang pemulihan ekonomi (setelah perang saudara), inilah masa yang sesuai untuk kita meraih peluang, apabila sebuah negara hendak ‘take off’, masa ini kita boleh meraih peluang,” katanya kepada wartawan Malaysia sebagai mengulas lawatan rasminya selama tiga hari ke negara itu yang berakhir hari ini.

Najib dijadual berlepas ke Maldives untuk lawatan rasmi ke negara itu petang Selasa.

Perdana Menteri berkata FTA antara Malaysia dan Sri Lanka dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun depan atau selewat-lewatnya awal 2019.

Katanya perkembangan terbaharu itu dicapai dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya Ranil Wickremesinghe hari ini.

“Lanjutan kepada perbincangan saya dengan Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena sebelum ini, perjumpaan (dengan Wickremesinghe) hari ini tertumpu kepada beberapa tindakan susulan dan secara teliti mengenai apa yang boleh kita lakukan.

“Antaranya komitmen berterusan untuk mengambil tindakan susulan bagi memuktamadkan FTA. Harap hujung 2018 atau awal 2019 dimuktamadkan, Sri Lanka perlu menyelesaikan FTA dengan Singapura terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Sri Lanka melihat Malaysia sebagai sangat sesuai untuk dijadikan rakan niaga kerana Malaysia bukan sebuah negara yang besar tetapi juga bukan sebuah negara yang kecil dan tidak mengancam (ekonomi) negara itu.

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh syarikat telekomunikasi Malaysia yang berjaya di Sri Lanka Dialog Axiata bukan sahaja berjaya mendapat keuntungan lumayan dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 350,000 rakyat negara itu malah turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya termasuk untuk membantu sekolah bijak, data maklumat teknikal untuk petani dan sebagainya.

Najib berkata, beliau juga menerima kunjungan hormat dari Ketua Menteri Wilayah Utara Sri Lanka C.V.Wigneswaran yang memberi maklumat terkini mengenai keadaan wilayah itu yang tertekan selepas perang saudara.

Katanya, Jaffna mengalami keadaan yang tertekan akibat diragut dalam perang saudara dan sebanyak 45,000 wanita kini menjadi ibu tunggal yang tiada mata pencarian manakala 11,000 bekas tentera kini juga tiada pekerjaan.

Beliau berkata, Malaysia akan cuba membantu rakyat wilayah itu dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan bagi menghantar satu misi khas dan melihat apa yang boleh dibantu mengikut kemampuan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai lebih 200,000 keturunan Sri Lanka di Malaysia dan ramai di antara mereka yang berjaya dan mungkin boleh kerjasama dengan kerajaan untuk menghantar misi bantuan.

Menjawab soalan lain mengenai terdapat cadangan oleh pihak tertentu agar semua negara Islam membuka Kedutaan Besar masing-masing di Palestin, Perdana Menteri berkata perkara itu harus diteliti dan dibincang dalam kabinet terlebih dahulu.

“Kita juga perlukan pandangan Palestin dan setakat ini kita tidak mendapat pandangan dari pihak berkuasa Palestin lagi,” katanya.

Malaysia setakat ini mempunyai Kedutaan Besar Mesir dan Palestin di Mesir.

Najib berkata Malaysia tetap komited untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang langkah Amerika Syarikat yang mengisytiharkan Baitulmuqadis sebagai ibu negara Israel.

“Ini bermakna pendirian kita adalah tegas dalam hal ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 December 2017 8:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: