Kategori Berita Utama

Perlembagaan Persekutuan perlu diterap seawal prasekolah

30 DIS: Bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, pendidikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu disemai bermula dari tahap prasekolah.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata pengenalan kepada subjek itu bakal mewujudkan semangat patriotisme kalangan generasi muda.

Kanak-kanak prasekolah (foto hiasan).

“Penerapan nilai positif dan murni yang ditekankan dalam prinsip Rukun Negara dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan juga perlu berterusan sehingga ke peringkat universiti melalui kaedah lebih interaktif.

“Bagi peringkat awal alam persekolahan, pendedahan ini perlu dilaksanakan secara kreatif agar tidak membosankan dan mudah difahami anak-anak kecil.

“Apa yang lebih penting semua nilai positif dan murni ini perlulah diamalkan sejak kecil sehingga ia menjadi budaya yang sinonim dengan masyarakat majmuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Lam Thye, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai pentingnya masyarakat negara ini memahami sejarah dan Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan sebaik mungkin kepada golongan berkenaan.

“Kanak-kanak sangat mudah menerima apa yang diajar dan diterapkan di peringkat awal pembesaran mereka dan sudah tentu pendedahan yang menarik mengenai Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara akan tersemat di sanubari mereka sehingga dewasa,” katanya.

“Oleh itu penggunaan teknologi terkini seperti pendekatan multimedia interaktif perlu ditingkatkan dengan kerjasama pakar daripada institusi pengajian tinggi dan agensi terbabit,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye (foto) berkata adalah menjadi kewajipan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk terus mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 December 2017 2:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: