Kategori Berita Utama

Subsidi distruktur bermula dengan gula

Dalam usaha untuk mempastikan sistem subsidi yang bersasar, kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi bagi mempastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja patut menikmatinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebahagian daripada penjimatan penstrukturan semula sistem subsidi akan di beri secara terus dalam bentuk bantuan tunai, dan sebahagian lagi akan digunakan untuk menampung pembiayaan projek pembangunan Kerajaan.

gula

Subsidi gula sebanyak 34 sen dimansuhkan berkuatkuasa 26 Oktober

Menurutnya, kerajaan telah mengurangkan subsidi produk petroleum sebanyak 20 sen pada 3 September 2013 sebagai langkah permulaan.

“Subsidi secara pukal, amnya boleh menjadi pembantut kepada pertumbuhan negara sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasar secara tepat. Di samping itu, berlaku penyeludupan produk bersubsidi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Subsidi adalah penggunaan wang rakyat bagi menambah baik kehidupan rakyat, tetapi jika subsidi itu adalah pembantut dan merugikan rakyat, kerajaan yang bertanggungjawab dengan kepercayaan yang telah diberikan akan mengambil keputusan yang terbaik bagi rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, Jumaat.

Jelas Najib, pada tahun 2013 kerajaan telah menyediakan hampir 47 bilion ringgit untuk pelbagai jenis subsidi, insentif dan bantuan antaranya subsidi produk petroleum, barangan makanan, kesihatan, pertanian dan perikanan, utiliti, tol serta kebajikan dan pendidikan.

Najib berkata, daripada jumlah tersebut, bahagian terbesar iaitu sebanyak 24.8 bilion ringgit atau 53 peratus adalah untuk subsidi produk petroleum yang dinikmati oleh semua golongan, termasuk yang berpendapatan tinggi, peniaga dan warga asing.

“Bagi mempastikan tiada pertindihan dan keciciran pemberian bantuan kepada golongan sasar, kerajaan akan mewujudkan satu sistem pangkalan data yang komprehensif termasuk mengintegrasi data e-Kasih, data penerima bantuan kebajikan dan penerima BR1M.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan menerajui inisiatif ini,” ujar Najib.

Dalam pada itu katanya, kerajaan mencadangkan memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuatkuasa 26 Oktober setelah statistik menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes. -25/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 October 2013 6:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: