Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Sukatan seragam sekolah tahfiz akan diperkenal

26 OKT: Tiada kurikulum khusus yang digunapakai oleh sekolah tahfiz di negara ini kerana kebanyakan pusat berkenaan menggunakan sukatan pengajian agama yang dirangka sendiri.

Mengulas perkara itu dalam Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi berkata kaedah pengajian tahfiz di negara ini menggunakan aliran pengajian tahfiz guru masing-masing yang berasal dari serata dunia seperti Pakistan, India dan Turki.

Bagaimanapun katanya, kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka model dan kurikulum sekolah tahfiz yang seragam yang bersesuai dengan keperluan masa kini.

“Semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah-sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pihak persendirian perlu berdaftar dan tertakluk kepada Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama di negeri masing-masing.

“Selain itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, semua aspek kurikulum termasuk silibus sekolah berkenaan adalah berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri berkenaan,” katanya bagi menjawab soalan berkenaan sukatan pengajian sekolah tahfiz yang dikemukakan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini.

Selain itu Azeez turut bertanya berkenaan kelayakan minimum untuk seseorang itu menjadi guru di sesebuah pusat tahfiz.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Asyraf menjelaskan bahawa semua guru yang mengajar pendidikan agama Islam termasuk pendidikan tahfiz perlu mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama negeri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 October 2017 12:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: