17 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang masjid dan surau di negeri itu digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin, berkata ia selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku ketua agama Islam negeri.
“Justeru, semua Jawatankuasa Kariah perlu mengambil perhatian dalam memastikan masjid dan surau bebas politik kepartian seperti dinyatakan dalam Peraturan 18 (1) dan Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak terbabit diarahkan menyekat sebarang bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan mengandungi elemen kempen politik dalam dewan solat utama atau di perkarangan masjid atau surau.
“Selain itu, khatib jemputan untuk khutbah solat Jumaat tidak dibenarkan kecuali selepas mendapat kebenaran JAIS,” katanya.