Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Surat letak jawatan Exco PKR Kelantan akan diserah

31 MEI: Surat peletakan jawatan wakil pimpinan PKR akan diserahkan kepada kerajaan PAS Kelantan secepat mungkin selepas proses pengumpulannya selesai dilakukan, demikian menurut Pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir.

“Dalam (proses) mengumpul, mahu dapatkan tandatangan ni,” katanya dipetik media.

Sebelum ini, selepas didesak oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kesemua ahli dan pimpinan parti memegang lantikan politik dalam kerajaan Kelantan sedang dalam proses meletak jawatan yang dijangka selesai pada hujung bulan ini.

Aziz berkata ketika itu pihaknya sedang menyelesaikan beberapa perihal berkenaan isu terbabit.

Jelas beliau, minggu lalu berkata, kesemua wakil pimpinan PKR akan menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada kerajaan negeri secara serentak.

“Secepat yang mungkin (akan dihantar),” katanya, namun memaklumkan pihaknya belum menentukan tarikh penyerahan surat berkenaan dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengesahkan kerajaan negeri masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada wakil pimpinan PKR negeri itu.

Che Abdullah berkata, urusan pentadbiran kerajaan negeri sehingga kini tetap berjalan seperti biasa.

Malah ADUN Wakaf Bharu itu mengulangi pendirian kerajaan negeri yang masih mengalu-alukan penyertaan wakil pimpinan PKR untuk meneruskan khidmat mereka.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Aziz bertegas pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan sebagaimana yang diputuskan oleh Biro Politik PKR sebelum ini.

“Kita memang tak bincang di Kelantan, memang kita hanya mengikut apa yang diarahkan oleh (PKR) pusat saja,” kata beliau lagi.

Sebelum ini juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmod dilaporkan berkata pihaknya belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada ahli PKR negeri itu.

Begitu juga dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau menyerahkan kepada kerajaan Kelantan dan PKR negeri itu untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Sementara itu Aziz yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh berkata seramai 61 orang terbabit dalam perletakan jawatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 May 2017 1:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: