Kategori Berita UtamaUncategorized

Syarikat konsesi tol sudah untung banyak – MISIF, MTUC

19 DIS: Kenaikkan kadar tol seperti yang dilaporkan media baru-baru ini tidak wajar dilaksanakan kerana syarikat pemegang konsesi tol dipercayai mencatat keuntungan selain tidak menerima kesan daripada kenaikkan harga barang.

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persekutuan Industri Besi dan Keluli Persekutuan Malaysia (MISIF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sependapat menyatakan peningkatan jumlah kenderaan yang pesat dan ketara di negara ini tidak memungkinkan jumlah pengguna lebuhraya bertol merosot sekaligus merugikan pemegang konsesi.

Soh Presiden MISIF

Presiden MISIF Datuk Soh Thian Lai

“Mereka juga tidak menerima kesan ketara oleh faktor-faktor lain seperti turun naik mata wang, kenaikan kadar elektrik dan harga bahan api, dan lain-lain seperti apa yang dialami oleh industri-industri lain terutamanya dalam sektor pembuatan,” kata Presiden MISIF Datuk Soh Thian Lai dalam satu kenyataan, Khamis.

Menurut Soh, sebaliknya jika kadar tol dinaikkan, pengusaha industri besi akan menerima kesan langsung melalui peningkatan kos logistik dan pengangkutan, sekaligus akan menyebabkan industri besi dan keluli terus lesu.

Jelasnya, pengusaha industri besi sebelum ini sudah terkesan dengan dasar yang diperkenalkan kerajaan mutakhir ini seperti dasar gaji minimum, pelanjutan umur persaraan, kenaikan tarif elektrik dan peningkatan harga bahan api.

Jika ada lagi kenaikan tol, ia akan menyumbang kepada kos pengeluaran yang lebih tinggi dan bukan sahaja akan menjejaskan daya daya saing industri, tetapi juga akhirnya membebankan pengguna.

Soh juga membidas cadangan supaya kenderaan perdagangan menggunakan jalan alternatif.

“Penggunaan kenderaan berat untuk mengangkut produk besi dan keluli menggunakan jalan alternatif tidak praktikal kerana isu keselamatan orang ramai yang tinggal di sepanjang jalan yang menghubungkan kawasan luar bandar.

“Selain itu terdapat pula larangan ketinggian kenderaan, keadaan jalan yang teruk dan tempoh masa penghantaran yang tidak tepat juga adalah faktor kritikal menghalang penggunaan jalan alternatif,” ujar beliau.

Presiden MTUC

Presiden MTUC Khalid Atan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang turut membantah keras sebarang kenaikan tol berpendapat jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun sudah pasti menyumbang keuntungan kepada syarikat konsesi.

“Jadi adalah tidak logik untuk menaikkan lagi kadar tol, setiap tahun jumlah kenderaan meningkat, kadar jualan kenderaan pun laris, jalan-jalan setiap hari bertambah sesak dengan kenderaan yang banyak, sudah pasti tol dapat untung,” kata Presidennya Khalid Atan kepada bnbbc.my ketika  dihubungi.

Oleh itu Khalid meminta kerajaan untuk mengkaji semula perjanjian dengan syarikat pemegang konsesi yang terlibat bagi mengelakkan rakyat menanggung beban yang tinggi dengan kenaikan kadar agtau tarif bayaran yang lain baru-baru ini.

“Sekarang ini terlalu banyak kenaikan yang diumumkan, sebelum ini gula, petrol, tarif elektrik dan sekarang diumumkan pula kadar kenaikan tol, ini hanya akan menambah beban rakyat.

“Saya ada menerima aduan daripada pengguna yang juga rakyat, rata-ata termasuk saya sendiri tidak bersetuju dengan kenaikan ini,” katanya kepada BNBBC.my.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa semakan semula kadar tol akan dibuat tahun hadapan.

Beliau merujuk kepada perjanjian dengan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di mana kadar tol perlu dinaikkan pada 2015.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 December 2013 4:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: