Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Syiah: Dua dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh esok

16 DIS: Dua individu, termasuk seorang doktor wanita bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh, Perak pada Selasa kerana menjadi pengikut Syiah, ketika pihak berkuasa menggiatkan usaha membanteras penularan fahaman berkenaan yang diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan selain dianggap ancaman terhadap keselamatan negara.

Pengamal perubatan homeopati, Dr Nur Azah Abdul Halim, 41, dan pengusaha restoran Mohammad Ridzuan Yusof, 31, berdepan pertuduhan mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak kerana memiliki dokumen dan buku berkaitan ajaran Syiah.

Dr Nur Azah ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Taiping pada 19 Ogos lalu kerana memiliki buku-buku ajaran amalan Syiah.

Dr NUR AZAH ketika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Taiping pada 19 Ogos lalu kerana memiliki buku-buku ajaran amalan Syiah.

Dr Nur Azah didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis di No 41, Jalan Medan Kamunting, Medan Kamunting, Taiping pada 5 Ogos lalu.

Manakala Mohammad Ridzuan pula didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh yang sama di sebuah rumah di No. 125 Lorong Jelutong, Kampung Jana Sambungan, Kamunting, juga di Taiping.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua mereka ditahan pada 5 Ogos lalu dalam serbuan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke agtas dua premis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Mereka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada hari yang sama bagi tujuan ikat jamin dan Hakim Syarie, Muhammad Taifor Ahamad Rusdi membenarkan mereka masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin.

Pada 19 Ogos kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Taiping untuk sebutan kes dan mengaku tidak bersalah.

Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Azman Saad membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin yang sama seperti ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelum itu dan menetapkan 8 Oktober untuk sebutan semula kes.

Ketika sebutan semula kes pada 8 Oktober, kes mereka dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak di Ipoh dan diijadualkan esok.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.

Manakala Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Perak pada 4 Januari 2012 antara lain menyebut orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen.

Selain itu, orang Islam dilarang menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan.

Sementara itu The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin melaoprkan Dr Nur Azah mendakwa dilayan secara tidak adil hanya kerana mahu menngamalkan ajaran Syiah.

“Kami dilayan secara sangat tidak adil. Kami dilayan seperti penjenayah hanya kerana mahu mengikuti Islam Syiah,” kata Dr Nur Azah dalam portal WSJ.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 December 2013 2:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: