Kategori Berita Utama

Taib Mahmud rasmi jadi TYT

1 MAC: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Sabtu, sudah rasmi bergelar Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7 menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 92, yang tamat tempoh perkhidmatannya semalam.

Beliau mengangkat sumpah jawatan tepat jam 11 pagi di hadapan Hakim Besar Sabah Dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun di Dewau Lapau, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ia turut disaksikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.

KETIBAAN Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi serta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Majlis Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, Sabtu.-Foto BH

KETIBAAN Abdul Taib dan isteri di Majlis Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kuching, Sabtu.-Foto BH

Tetamu jemputan tiba seawal jam 9.30 pagi di perkarangan Dewan Undangan Negeri disusuli ketibaan Ketua Menteri serta isteri pada pukul 9.50 pagi.

Tan Sri Abdul Taib serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi serta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem tiba jam 10.10 pagi dan diberi hormat di raja sambil diiringi Lagu Ibu Pertiwiku.

Sejurus itu beliau memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama diiringi oleh Pegawai Pemerintah Perbarisan sebelum menuju ke Dewan Lapau untuk Istiadat Angkat Sumpah.

Istiadat bermula dengan bacaan Surat Cara Perlantikan daripada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong oleh Ketua Menteri.

Yang di-Pertua Negeri kemudiannya mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Seterusnya, beliau menandatangani Surat Pengisytiharan disaksikan Ketua Menteri sebelum bacaan doa oleh Imam besar Negeri Datuk Jorgi Suhaili.

Istiadat diakhiri dengan Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

Abdul Taib, 78, yang bersara dari semua jawatan politik dan pentadbiran negeri berkuatkuasa Jumaat, 28 Februari 2014 menerima watikah pelantikannya sebagai TYT daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara jam 3 petang semalam.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 March 2014 11:42 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: