Kategori Berita Utama

Banjir P.Pinang: Tak perlu minta bantuan kerajaan sendiri akan bantu

5 NOV : Kerajaan pusat akan memberi bantuan tidak mengira negeri itu ditadbir kerajaan sendiri mahupun pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu tidak perlu dipolitikkan kerana kepentingan rakyat harus diletakkan sebagai keutamaan.

“Berkenaan banjir ini memang tak payah kerajaan negeri minta, kalau ada musibah walaupun kerajaan negeri pembangkang, kita memang bantu atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan hospital medan untuk etnik Rohingya di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Ahad.

Setakat ini jelas Najib lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk membantu kerajaan negeri dan mangsa banjir.

“Pasukan ATM akan membantu, tentera akan berlepas petang ini untuk melihat keadaan dan dikoordinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita akan bantu mangsa banjir dan keperluan mereka akan ditentukan dan beri bantuan yang diperlukan mereka,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Lim Guan Eng tidak perlu bimbang kerana anggota tentera sudah berada di lokasi banjir untuk memantau keadaan dan menghulurkan bantuan.

“Ketua menteri Pulau Pinang jangan bimbang, apa yang kita lakukan di Kelantan dan Terengganu dalam menghadapi banjir besar, kita serius untuk membantu Pulau Pinang,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, musibah itu tidak seharusnya dipolitikkan mana-mana pihak.

“Saya tegaskan jangan cuba politikkan, apa yang kita lakukan konsisten. Dalam beberapa jam, aset kita gerakkan, lebih 100 anggota lain-lain pangkat dan 10 pegawai digerakkan ke Pulau Pinang. Ini SOP (prosedur operasi standard) kita,” ujarnya lagi.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam sidang media sama berkata, ATM bukan sahaja menilai situasi semasa banjir, tetapi juga selepas banjir.

“Ada beberapa ratus anggota di lokasi. Pagi tadi ada 160 anggota dan sekarang digerakkan anggota tambahan.

“Bantuan untuk respons dan pasca itu nanti. Pasca itu yang diinginkan menteri pertahanan. Bagi kita, ATM akan lihat kedua-dua aspek,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 November 2017 4:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: