Kategori Berita Utama

Tanah Jalan Semarak: Isu terakhir bersihkan FELDA

27 DIS: Tan Sri Shahrir Abd Samad mahu menyelesaikan isu pindah milik tanah FELDA di Jalan Semarak di ibu kota dalam apa cara sekali pun memandangkan ia adalah isu terakhir bagi membersihkan agensi tersebut.

Menurut Pengerusi FELDA itu, bagaimanapun beliau perlukan masa bagi menangani perkara tersebut dengan kaedah terbaik kerana isu itu bukan sesuatu yang mudah selain membabitkan jabatan serta agensi kerajaan lain.

Justeru itu katanya, pengurusan tertinggi FELDA sebelum ini perlu tampil menjelaskan berkaitan pemberian surat kuasa wakil penuh (full power of attorney atau PA) kepada Synergy Promenade Sdn Bhd bagi membangunkan tanah tersebut.

Menurut Shahrir, tindakan awal FELDA bagi mendapatkan semula hak milik tanah itu adalah melalui kaveat persendirian yang diperolehi pada 14 April 2017 dan disusuli laporan polis pada 12 Disember lalu.

Shahrir berkata, Lembaga Pengarah FELDA mahu tindakan undang-undang diambil kerana ada asas penipuan atau ‘fraud’ di dalam urusan pindah milik tanah tersebut.

“FELDA sendiri pun tidak tahu hak milik tanah sudah berpindah kepada syarikat terbabit,” jelas Shahrir lagi.

Mengenai tindak balas syarikat terbabit termasuk menyaman FELDA, beliau menegaskan agensi itu bersedia berdepan tindakan tersebut.

Kita yakin boleh dapat balik (menang) kerana track rekod kita, FELDA menang banyak kes sebelum ini,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Kes-kes atau isu lain berkaitan FELDA sebelum ini sudah diambil tindakan termasuk dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kes lain yang lebih awal dikesan membabitkan Grand Plaza Service Apartment, Bayswater London yang sedang dalam proses untuk dijual kerana perhotelan bukan aktiviti asas atau core activity FELDA, apatah lagi perniagaan dan asset di luar negara.

Ini diikuti Merdeka Palace Hotel & Suites Kuching dan The Park City Hotel di London pada 2014 yang pembelian kedua-dua hartanah itu telah disiasat oleh SPRM dan tindakan mahkamah terhadap pembelian hotel di Kuching bakal disusuli awal tahun depan.

Menurut Shahrir, isu pemindahan tanah FELDA di Jalan Semarak berlaku pada Disember 2015 dan November 2016 di mana yang terakhir itu dua bulan sebelum beliau jadi Pengerusi.

“Tetapi isu pembelian harta di London (mahu pun oleh FELDA dan FIC) telah berlaku sebelum pindahmilik tanah di Jalan Semarak dalam tahun 2013 dan 2014,”.

“Jadi tumpuan saya mestilah kepada isu yang lebih awal kerana itu cara saya bekerja. Dan saya lihat isu pindahmilik secara fraud ini sebagai isu terakhir dalam usaha saya mahu membetulkan FELDA dan membawa ia balik ke asal sebagai agensi terunggul,” katanya.

Bagaimanapun tegas Shahrir, Ia mengambil masa kerana kes pemindahanmilik tanah FELDA di Jalan Semarak agak teknikal di segi perundangan kerana ia melibatkan soal perjanjian pembangunan di mana Synergy Promenade Sdn Bhd adalah Pemaju dan turut memegang kuasa wakil (Power of Attorney) bagi pihak FELDA.

Katanya, Lembaga FELDA telah memperolehi nasihat firma guamannya dan perlu mendapatkan nasihat dan pandangan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM dan Peguam Negara sebelum FELDA bertindak.

“Kita tidak gopoh dan Perdana Menteri  dimaklumkan di setiap peringkat dan akhirnya setelah mendapat nasihat Peguam Negara, Perdana Menteri bersetuju dengan tindakan yang dicadang oleh FELDA,” jelasnya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 December 2017 7:29 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: