Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tandas kotor, lesen restoran tak disambung

16 JUN: Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji cadangan supaya pihak berkuasa tempatan menjadikan kebersihan tandas sebagai syarat untuk memperbaharui lesen restoran.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohammad Mentek berkata saranan supaya restoran memiliki tandas bertaraf empat bintang adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kebersihan tandas awam.

“Bagaimanapun perkara ini masih di peringkat cadangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat setakat ini,” katanya pada majlis perasmian konsep baharu tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Jumaat.

Selepas itu, Mohammad melawat dan meninjau tandas yang dinaik taraf di KLIA dan beliau memuji konsep baharu tandas di lapangan terbang tersebut yang bertaraf lima bintang.

Antara ciri-ciri tandas konsep baharu KLIA ialah kemudahan menukar lampin yang turut disediakan di tandas lelaki bagi membolehkan golongan bapa menukar lampin anak masing-masing, lampu pada cermin di sinki dan pengering tangan individu yang disediakan di sebelah setiap sinki.

Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali berkata konsep baharu tandas di KLIA adalah secara kerjasama bersama KPKT.

Beliau berkata bagi fasa pertama, 131 tandas dari jumlah keseluruhan 225 tandas yang terdapat di KLIA sudah dinaik taraf mengikut konsep baharu.

“Kos untuk menaik taraf tandas di KLIA membabitkan RM30 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019,” katanya.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 June 2017 5:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: