Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tangguh bentang RUU 355, ini penjelasan Takiyuddin

24 NOV : Keputusan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 pada Khamis disebabkan mengambilkira beberapa faktor, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

takiyuddinTakiyuddin menafikan penangguhan hari ini disebabkan oleh bantahan ahli Parlimen bukan Islam, malah semasa pembentangan hari ini juga Presiden MCA dan Gerakan juga berada dalam Dewan Rakyat menunggu pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau kita lihat dalam dewan, tiada ahli parlimen bukan Islam yang menentang. Saya terkejut walaupun digembar-gemburkan kepimpinan parti politik bukan Islam menentang pindaan RUU ini, tetapi hari ini (semalam) Presiden MCA, Presiden Gerakan ada.

“Saya tabik sebab mereka gunakan saluran demokrasi untuk benarkan bentang dulu. Kalau nak bantah, buat masa perbahasan,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Hadi, yang juga Presiden PAS hari ini memohon bacaan kedua RUU 355 ditangguh ke sidang akan datang kerana mahu memberi lebih penjelasan berhubung pindaan tersebut.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Abdul Hadi akan memberi huraian lengkap dalam sidang Mac ini mengenai justifikasi dan asas pindaan tersebut.

“Kalau buat (bahas) hari ini (semalam), nanti kita dikatakan tidak beri peluang untuk kaji pula. Ini pindaan pertama dan kita baru masukkan (pindaan) hari ini.

“Kalau kita dah letakkan pindaan awal-awal mungkin tiada masalah (untuk faham),” katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar jawatankuasa pemilihan ditubuhkan, Takiyuddin berkata, ia hanya dibolehkan selepas bacaan pertama.

“Jika kerajaan nak buat jawatankuasa, kita setuju. Tetapi buat masa ini tak boleh buat sebab tarafnya hanya usul persendirian.

“Jadi kita tunggulah lepas bacaan pertama, kita akan gesa kerajaan untuk buat jawatankuasa,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 24 November 2016 5:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]