Kategori Berita Utama

Tiada arahan ADUN PAS Selangor letak jawatan, keluar parti

18 MEI: Kepimpinan tertinggi PAS menafikan khabar angin yang mendakwa kononnya 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor diarah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat di negeri tersebut serta bertindak keluar daripada kerajaan Selangor.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada ADUN PAS di Selangor untuk berbuat demikian dan khabar angin ini tidak benar sama sekali.

“Saya menafikan ada arahan untuk meletak jawatan atau keluar kerajaan, laporan media hari ini juga dinafikan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, (Sallehen Mukhyi) dalam mesyuarat baru diadakan dan beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan.

“Tiada arahan untuk arahkan ADUN PAS di Selangor letak jawatan dan tiada ADUN yang tak setuju dengan Majlis Syura Ulama.

“Perkara ini juga telah dinafikan oleh Pesuruhjaya Tinggi PAS Selangor Sallehin Mukhyi,” jelasnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hasan dan Ketua Penerangan Nasruddin Hassan Tantawi.

Tuan Ibrahim yang sedang memangku tugasan Presiden parti berikutan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bercuti rehat, dalam pada itu menegaskan, kedudukan 3 Exco PAS dalam kerajaan Selangor akan terus kekal selagi mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Kedudukan 3 Exco PAS di Selangor, mereka ini dilantik oleh sultan, jadi hanya kuasa Sultan sahaja yang boleh mengarahkan mereka meletakkan jawatan. Kita akan tunggu perkembangan seterusnya kedudukan mereka ini.

“Sehingga setakat ini, kita akan teruskan tugasan pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor. Bagi pihak PAS pusat kita harapkan mereka akan bertugas dengan baik dan lancar dan kita tidak mahu mengganggu perjalanan tersebut,” tegasnya.

Sementara itu Takiyuddin menjelaskan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, berdasarkan perkara 53 fasa 7 dengan jelas menyatakan bahawa, seseorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatannya selama yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

“Itu yang PAS pegang sekarang. Tapi ahli majlis itu boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa.

“Jadi soal letakkan jawatan tidak timbul, dan dalam fasa 7 ini ahli-ahli Exco boleh meneruskan tugas mereka selagi diperkenankan Sultan.

“Kita akan tunggu perkembangan seterusnya dan PKR tidak buat keputusan dan mereka sedang menunggu Menteri Besar balik dulu barulah merekq nak minta keputusan kedudukan Exco PAS Selangor ini,” jelas Takiyuddin lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 May 2017 2:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: