Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tiada istilah SPRM sengaja sasar Polis

23 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sengaja menyasarkan agensi penguatkuasaan tertentu di negara ini, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memerangi rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata setiap tindak-tanduk diambil SPRM dilakukan berpandukan bukti dan siasatan, dengan berlandaskan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Agensi penguat kuasa memang antara yang kita beri tumpuan utama dalam usaha memerangi rasuah, selain pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kewangan.

“Ini kerana semuanya mempunyai persepsi berisiko tinggi untuk terdedah rasuah. Jadi, apa yang kita lakukan adalah usaha untuk mengurangkan persepsi itu,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) membabitkan skuad bola sepak Liga Super Kedah, di Kedah hari ini.

Beliau mengulas penahanan beberapa anggota dan pegawai polis, termasuk dua Ketua Polis Daerah di Melaka kerana disyaki mendalangi kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha judi haram dan rumah urut di negeri itu.

Sementara itu, Shamsun Baharin turut menegur tindakan segelintir pihak yang cenderung memuat naik maklumat khususnya dalam bentuk video yang didakwa membabitkan amalan rasuah, namun tidak berani menyalurkannya kepada SPRM bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan.

“Itu (muat naik rakaman video yang didakwa ada unsur rasuah) tak boleh dikira sebagai laporan rasmi kerana ia jelas meragukan, namun kita boleh ambil maklum untuk diperkembangkan sebagai maklumat risikan.

“Kita ambil contoh satu video memaparkan seorang lelaki menyerahkan wang kepada polis trafik di tepi jalan. Ia mungkin memberi persepsi rasuah, namun selepas disiasat mendapati kedua-dua mereka kenal satu sama lain dan wang itu diserahkan untuk dikirim kepada keluarga kerana anggota polis berkenaan mahu balik ke kampung…jadi isu keraguan timbul.

“Kita ada pelbagai saluran khususnya melalui aplikasi MACC Mobile, yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit untuk memudahkan aduan dibuat, selain sistem pengurusan aduan jika pengadu tak mahu hadir ke pejabat SPRM. Identiti pengadu juga dirahsiakan,” katanya.

Mengenai industri bola sepak negara, Shamsun Baharin mengakui risiko untuk amalan rasuah cukup luas terutama dengan pembabitan ‘bookie’ yang mengatur perlawanan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 May 2017 11:19 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: