Kategori Berita Utama

Tiada kenaikan tol tahun ini

5 FEB: Kadar tol di semua lebuhraya di seluruh negara tidak akan dinaikkan pada tahun ini, dan ekoran keputusan itu kerajaan akan membayar ganti rugi sebanyak RM400 juta bagi syarikat konsesi yang terbabit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Muhyiddin perkara itu diputuskan oleh jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada pagi Rabu bagi mamastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar tol baharu.

Timbalan perdana menteri berkata pampasan itu adalah untuk syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang yang sepatutnya menaikkan kadar tol.

Muhyiddin berkata banyak lagi syarikat konsesi termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tidak menaikkan tol.

“… macam PLUS tak naik, dan banyak lagi syarikat konsesi sekarang ini, ada 29 syarikat konsesi semuanya, cuma yang terlibat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, kalau tak silap saya ada sembilan syarikat konsesi,” katanya.

Selain itu menurutnya jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk meminta Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, sekiranya ada cara-cara yang boleh dilakukan untuk berunding semula dengan pemilik konsesi berkaitan kutipan tol.

“.. kalau ada terma-terma yang boleh dipersetujui bersama, termasuk untuk lanjutkan tempoh konsesi sebagai satu cara menentukan kadar tol tidak dinaikkan di masa hadapan, ini boleh dibincangkan.

“Jawatankuasa hari ini bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengadakan perbincangan awal dengan semua syarikat konsesi untuk hasrat itu,” katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, 5 Feb

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, 5 Feb

Selain itu, kata Muhyiddin, Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat yang bermesyuarat buat pertama kali hari ini bersetuju untuk mengadakan peruntukan khas sebanyak RM120 juta.

Peruntukan itu akan disalurkan kepada FAMA, NEKMAT dan NAFAS untuk menyediakan bekalan makanan mencukupi bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran yang menjadi antara punca kenaikan harga sekaligus meningkatkan kos sara hidup.

Katanya mesyuarat memberikan tumpuan khusus kepada enam aspek atau bidang kecil yang dilihat membawa implikasi ketara kepada kos sara hidup orang ramai, yang terdiri daripada aspek bahan bakar, yang merujuk kepada isu-isu berkaitan subsidi minyak.

“.. kedua dari aspek tenaga seperti tenaga elektrik dan sebagainya, ketiga dari segi bahan makanan, (keempat) aspek pembayaran tol, kelima pengangkutan, seperti tambang bas serta teksi, dan yang keenam, aspek perumahan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata jawatankuasa itu juga bersetuju untuk memperuntukkan RM3.5 juta kepada pertubuhan-pertubuhan pengguna di seluruh negara, termasuk 20 persatuan pengguna yang besar, untuk membantu mereka melaksanakan program-program pendidikan kepada pengguna.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 February 2014 6:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: