Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas Madinah, letupan Kabul

1 JUN: Kementerian Luar mengesahkan tiada laporan diterima daripada pihak berkuasa Arab Saudi dan ejen umrah bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Madinah-Qassim, Jumaat lepas.

Dalam satu kenyataan semalam, Wisma Putra berkata pihaknya, melalui Kedutaan Malaysia di Riyadh dan Pejabat Konsul Jeneral di Jeddah, akan terus memantau perkembangan penyiasatan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai kemalangan itu, terutama yang mempunyai kaitan dengan rakyat Malaysia.

Akhbar Arab Saudi, ‘Saudi Gazette’ melaporkan enam orang terbunuh dan 81 cedera dalam kemalangan itu yang melibatkan lima buah bas.

Sementara itu, Kementerian Luar turut mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden letupan bom kereta oleh pelaku bunuh diri di Kabul pagi semalam yang menyebabkan ramai orang terkorban dan cedera.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian berkata ia akan memantau situasi melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan amat sedih terhadap tindakan keganasan yang sia-sia itu dan berharap pelakunya segera dibawa ke muka pengadilan.

“Malaysia juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan simpati kepada Kerajaan Republik Islam Afghanistan dan kepada keluarga yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 80 orang maut dan 350 lagi cedera dalam letupan bom kereta di daerah diplomatik di ibu negara Afghanistan itu, agensi berita China, Xinhua memetik Menteri Kesihatan Awam Afghanistan sebagai berkata.

Serangan pada hari Rabu itu ialah pengeboman besar-besaran yang kedua di Kabul bulan ini.

Pada 3 Mei, lapan orang awam terbunuh dan 27 orang termasuk tiga askar Amerika Syarikat, cedera dalam pengeboman yang dilakukan oleh pelaku bunuh diri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 June 2017 10:55 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: