Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tiada rombakan kabinet Johor- MB

21 APRIL: Susulan peletakan jawatan ADUN Endau, Datuk Abd Latif Bandi yang diumumkan semalam, kerajaan Johor tidak bercadang untuk melakukan rombakan atau pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaaan Negeri yang baharu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri akan terus digalas oleh Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday yang dilantik ketika penyusunan semula Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor pada awal Mac lalu.

“Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dipertanggungjawabkan oleh Datuk Jais.

“Yang mana kita buat pertukaran, kita kekalkan sampai PRU. Tiada cadangan untuk buat rombakan atau pertambahan,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis pelancaran kedai harga patut IMCOOP di Taman Bukit Dahlia hari ini.

Pada bulan lalu, Md Jais dilantik memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri menggantikan Abd Latif bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md Jais pula diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed turut diamanahkan bagi memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi yang dipegang Md Jais sebelum ini.

Penyusunan semula semua Pengerusi Jawatankuasa tersebut telahpun mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Share This:




Berita Bertarikh pada 21 April 2017 5:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]