Kategori Berita Utama

Tiada tanda sidang Parlimen berakhir minggu depan

17 MAC: Disebalik desas desus laporan mengenai sempadan baru pilihan raya akan dibentang di Dewan Rakyat pada hari Khamis ini sekaligus menjadi petunjuk parlimen akan dibubarkan, jadual atau aturan mesyuarat sepanjang 19 Mac hingga 22 Mac masih kekal tidak berubah.

Berdasarkan aturan mesyuarat Isnin hingga Khamis depan adalah untuk pihak kementerian atau Menteri menjawab atau menggulung perbahasan Titah Diraja.

Sebanyak 25 kementerian akan menjawab selepas perbahasan Titah Diraja yang bermula 6 Mac lalu selesai pada 15 Mac.

Ia dijadualkan bermula dengan Kementerian Kewangan dan berakhir dengan Jabatan Perdana Menteri sebagai kementerian yang bertanggungjawab akan menggulung bagi perbahasan Titah Diraja.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi mengenai tarikh pembubaran Parlimen dengan ada pihak menjangkakan ia lebih awal daripada tarikh persidangan Penggal Keenam Parlimen ke 13 yang dijadual berakhir 5 April.

Jika tiada perubahan pada jadual kementerian menggulung perbahasan atau hari penggulungan tidak dikurangkan, usul sempadan baru pilihan raya paling awal hanya akan dibentang di Dewan Rakyat pada 26 Mac.

Minggu lalu, media melaporkan Parlimen dibubarkan pada akhir Mac atau awal April.

Pilihan raya umum dijangka diadakan antara akhir April hingga awal Mei, sebelum bulan Ramadan bermula pada pertengahan bulan Mei.

Seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini., hanya majoriti mudah dalam Dewan Rakyat diperlukan untuk meluluskan usul sempadan baru pilihan raya itu, tanpa perlu melalui Dewan Negara.

Persempadanan semula kawasan parlimen dan negeri akan berkuatkuasa sebaik sahaja usul itu menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Parlimen boleh dibubarkan lebih awal selepas usul persempadanan semula diluluskan tanpa perlu menunggu  tarikh sesi sidang Dewan Rakyat ketika ini berakhir pada 5 April.

Dalam pada itu, ada pihak menjangkakan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membubarkan Parlimen selewat-lewatnya 3 April, tarikh genap sembilan tahun beliau sebagai Perdana Menteri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 March 2018 10:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: