Kategori Berita Utama

Tian Chua runsing PKR-DAP P.Pinang bertelagah isu bantuan banjir

24 NOV: Pemimpin PKR menggesa isu membabitkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang diselesaikan untuk mengelakkan konflik yang lebih besar dalam Pakatan Harapan (PH).

Naib Presidennya, Tian Chua juga menggesa kerajaan negeri mengkaji semula keputusannya menghalang ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dari parti itu menguruskan pendaftaran mangsa banjir.

“Saya tidak tahu apa yang salah Cheah lakukan. Saya tidak tahu kenapa (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng menghalangnya.

“PH harus mencari penyelesaian secepat mungkin untuk mengelakkan perkara itu daripada menjadi lebih buruk dan memberi peluang kepada musuh untuk mensabotaj kita,” katanya seperti dilaporkan Mkini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula lapor Mkini berkata PKR Pulau Pinang akan bertemu dengan ketua menteri untuk menyelesaikan perkara itu.

Terdahulu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman menyatakan sokongan terhadap Kah Peng yang dilarang menguruskan pendaftaran mangsa banjir oleh kerajaan negeri.

Mansor yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata, penyerahan pengurusan bantuan banjir di Kebun Bunga kepada ADUN DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey juga langkah meminggirkan PKR dalam kerajaan negeri.

Mansor juga menolak alasan Guan Eng yang mengatakan terdapat perubahan prosedur dalaman berhubung perkara itu sebagai “naif dan tidak boleh diterima”.

Kah Peng adalah antara ADUN berkecuali ketika undian usul UMNO berkenaan penambakan tanah dua tahun lalu, telah dilarang menguruskan bantuan RM700 melalui surat bertarikh 20 November lalu daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus.

Bagaimanapun difahamkan tiada alasan diberikan.

Kah Peng dan empat ADUN PKR lain sebelum ini berselisih pendapat dengan Guan Eng selepas berkecuali dalam pengundian usul UMNO untuk menghentikan semua projek penambakan pada 2015.

Dakwa Guan Eng mereka cuba mensabotaj kerajaan Pulau Pinang.

Malah susulan kejadian itu Kah Peng juga dipecat daripada jawatan pengarah Penang Hill Corporation.

Kah Peng pada 10 November lalu juga mempersoal pengkorporatan Penang Botanic Gardens.

Selain beliau, ADUN Permatang Pasir, Salleh Man daripada PAS juga tidak dibenarkan menguruskan pemohon bantuan mangsa banjir.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 November 2017 10:52 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: