Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tidak perlu bimbang, Korea Utara takkan serang Malaysia

20 MAC: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang ancaman Korea Utara termasuk kemungkinan menyerang Malaysia.

Ini kerana jelas Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum, Korea Utara yang kini masih berkrisis dengan Korea Selatan tidak pernah tercetus peperangan apatah lagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang melakukan proses rundingan baik bersama pihak Korea Utara.

“Kita jangan buat spekulasi dan andaian sendiri sebab kita akan mengganggu rundingan yang sedang berjalan, namun suara kita kecil, tetapi suara didengari malah peranan kita diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Dan Korea Selatan dengan Korea Utara tak perang pun, sebab itu kita yakin yang isu ini dapat diselesaikan dengan baik, jangan risau mereka tak akan tembak kita,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Lumut, Laksamana Imran Abdul Hamid di Dewan Rakyat ketika menggulung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, Isnin.

Johari berkata demikian bagi menjawab kenyataan sinis Imran yang menggesa supaya kerajaan tidak membuat kenyataan yang tidak bijak kerana tindakan Korea Utara kebiasannya tidak mampu dijangka.

Namun jelas Johari, keyakinan beliau itu adalah kerana Malaysia sentiasa mengamalkan dasar luar dan diplomasi pertahanan yang baik dengan negara jiran.

Katanya lagi, penglibatan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa ASEAN, OIC, KOMENWEL adalah sangat membantu sekiranya Malaysia berada dalam keadaan yang sukar.

“Kita pun ada hubungan diplomasi dengan Korea Utara, inilah kelebihan yang saya maksudkan, kita ada rakan ramai sekiranya apa yang berlaku kita akan dapat sokongan dengan negara lain,” ujarnya.

Tegasnya, Malaysia berpendirian untuk memilih jalan damai dan pendekatan dilplomasi dalam memperjuangkan keadilan tanpa sebarang pertumpahan darah.

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 March 2017 7:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]