Kategori Berita Utama

Tidak puas hati tindakan JPJ punca kenderaan dibakar

6 FEB: Susulan lima kenderaan termasuk 3 milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diparkir di kawasan parkir Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori  di Kuala Kangsar musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi, ia dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung tindakan penguatkuasaan jabatan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner, Ahmad Termizi Abd Haq, berkata siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham membabitkan beberapa individu yang dikenakan tindakan oleh anggota JPJ sebelum ini.

Katanya, perselisihan faham itu menjadi petunjuk utama siasatan selepas siasatan di lokasi kejadian menemui pagar yang dipotong dipercayai dilakukan lebih daripada seorang individu.

“Polis percaya kebakaran ini bukan kebakaran biasa dan ia dipercayai angkara khianat selepas kami menemui kesan pagar dipotong di bahagian tepi kawasan pejabat.

“Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan perselisihan faham sebelum ini menjadi petunjuk utama siasatan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Ahmad Termizi berkata, kawasan pejabat JPJ itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman CCTV akan diambil polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, terdapat seorang pengawal berada di balai pengawal yang terletak di pintu pagar utama jabatan itu ketika kejadian manakala lokasi berlaku kejadian adalah di bahagian tepi sebelah kiri.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, berkata pihaknya turut meminta bantuan Unit Pengesan (K9) Bomba dari Klang, Selangor dan setakat ini siasatan di tempat kejadian belum menemui sebarang bahan bukti.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi tadi, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua jenis Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger hangus terbakar 90 peratus manakala dua kenderaan awam jenis Volvo terbakar 70 peratus.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 February 2018 1:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: