Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tidak timbul isu kelapa sawit musnah alam sekitar

20 JAN: Tidak timbul isu penanaman kelapa sawit menyebabkan kemusnahan alam sekitar kerana 55 peratus muka bumi Malaysia masih diliputi hutan, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri.

Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini bahawa penanaman kelapa sawit menyebabkan kemusnahan alam sekitar seharusnya tidak dijadikan isu.

Katanya, mereka sebenarnya bukan memperjuangkan alam sekitar tetapi kepentingan pengusaha kacang soya dan tanaman minyak sayuran lain di Eropah.

“Sebabnya, Malaysia sudah lama mengamalkan Pengurusan Hutan Secara Mampan (SMF). Walaupun ada penebangan pokok, ia dibuat secara profesional.

“Maknanya, kita tidak akan berganjak dan kita komited dengan peruntukan antarabangsa mengenai pelepasan karbon. Jadi, kita sudah mengikut saranan mengikut peruntukan antarabangsa sejak dari dulu lagi,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Kayuhan Fellowship Ride Tangkak 2018 di Dewan Serbaguna Bukit Gambir hari ini.

Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, ia adalah fakta dan Malaysia juga sangat tegas dalam aspek penjagaan hutan ini serta tidak akan sesekali berkompromi mengenainya.

“Apa yang dituduh oleh Eropah (EU) sebenarnya tidak benar. Mereka boleh datang ke Malaysia, periksa sendiri sama ada betul atau tidak kita mengamalkan falsafah ini.

“Mereka (EU) dialu-alukan untuk datang ke sini. Mereka ada agenda lain sebenarnya khususnya dalam melindungi tanaman kacang soya mereka,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sendiri sentiasa komited ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan juga menjadi antara negara yang mempunyai kementerian berkaitan dengan alam sekitar dan juga penggunaan teknologi mesra alam sekitar.

“Kita antara negara yang ada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan juga Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA). Maknanya di sini, Malaysia sentiasa serius dengan (penjagaan) alam sekitar dan akan terus mempertahankannya,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 January 2018 9:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: