Kategori Berita Utama

Tiga kementerian perlu segera henti rintihan 4 beradik di Sweden

19 JAN : Isu kangkung yang jadi satira politik besar di negara ini menyebabkan ada yang lupa nasib  empat orang kanak-kanak selepas ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa di Sweden kerana didakwa menghukum anak mereka yang dikatakan enggan solat.

Orang ramai termasuk pembangkang begitu teruja menjadikan kangkung sebagai sindiran politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada memikirkan keadaan empat beradik  yang kini berada dalam jagaan keluarga angkat bukan Islam.

Pasangan warga Malaysia tersebut yang bekerja sebagai Pegawai Tourism Malaysia di Stockholm Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 14 Disember lalu kerana kesalahan tersebut.

4beradiksweden

Sampai bila mereka harus tinggal bersama keluarga bukan Islam?

Tahanan reman mereka dilanjutkan dua minggu lagi bagi siasatan memukul tangan salah seorang anak mereka yang dikatakan tidak bersolat.

Sweden dikenali sebagai negara pertama yang mempunyai larangan ketat terhadap penderaan kanak-kanak dan apa-apa bentuk pukulan seperti menampar, mencubit, menarik rambut dan hukuman sebat kerana ia dianggap menyalahi undang-undang.

Namun, persoalan utama kini adalah nasib empat anak pasangan itu yang berusia tujuh hingga 14 tahun yang kini diuruskan Jabatan Kebajikan Sweden dengan menempatkan mereka di sebuah rumah keluarga angkat sejak ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa Sweden.

Sejak itu, tiada wakil dari kedutaan Malaysia di sana dibenarkan bertemu dengan keempat-empat beradik itu dan pihak kedutaan dikatakan sudah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk kebenaran mengadakan pertemuan dengan empat beradik tersebut.

Malah tindakan pihak berkuasa Sweden menempatkan keempat kanak-kanak berusia 14, 12, 11 dan 7 tahun dengan keluaga bukan Islam sudah telah menyebabkan kehidupan mereka semakin terjejas.

Dilaporkan mereka sangat tidak selesa apabila keluarga tersebut dikatakan membela anjing dan terpaksa berkongsi peralatan serta kemudahan.

Justeru itu, tidak hairan anak sulung pasangan itu, Aisyah, 14, merayu supaya diletakkan dalam penjagaan keluarga Melayu-Islam dari Malaysia, selain turut memuat naik status merindui ibu bapanya di laman Facebook miliknya.

Persoalan sekarang kenapa kerajaan mengambil masa terlalu lama untuk membantu kanak-kanak tersebut untuk memindahkan mereka kepada keluarga Islam selain memohon kes  Azizul Raheem dan Shalwati dibicarakan segera.

Walaupun dalam Akta Kanak-kanak dan Kod Ibu Bapa Sweden tidak menyebut sebarang bentuk hukuman namun ibu bapa masih boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 5 Kanun Keseksaan Sweden daripada tempoh enam bulan hingga 10 tahun bergantung kepada kes tersebut.

Sehingga perbicaraan atau kemungkinan pasangan itu dihukum penjara, nasib empat beradik ini haruslah diutamakan kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab.

Tidak dinafikan, Kementerian Luar sudah mengambil langkah perlu supaya kanak-kanak ini diletakkan di bawah jagaan keluarga Islam serta menyediakan skop perundangan bagi membantu pasangan terbabit.

Namun keutamaan sekarang wajarlah kepada empat beradik itu supaya hak mereka tidak dinafikan untuk bertemu ibu bapa dan mendapat perlindungan dengan menempatkan mereka bersama keluarga Islam.

Selain Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga patut memainkan peranan melalui hubungan saluran sepatutnya memandangkan Azizul Raheem adalah pegawai kementerian itu.

Pihak berkenaan tidak harus lepas tangan menyerahkan kepada Wisma Putra mengendalikan kes berkenaan.

Dalam masa sama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat juga perlu menghulurkan bantuan supaya empat kanak-kanak itu mendapat kemudahan sewajarnya.

ibubapasweden

Azizul Raheem dan Shalwati masih ditahan reman

Setidak-tidaknya, bantuan awal kepada empat beradik itu adalah barangan keperluan asas kegunaan harian selagi mereka bersama keluarga bukan Islam tersebut.

Pihak berkuasa Sweden tentu tidak menolak pemberiaan barang-barang berkenaan jika isu hak asasi manusia diketengahkan.

Apatah lagi, tuntutan itu datangnya daripada tiga kementerian yang ada kaitan dengan kes tersebut.

Namun, agak malang kerana sudah hampir sebulan kejadian itu, nasib empat beradik ini belum nampak penghujungnya

Untuk itu, Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarat kena bertanggungjawab sepenuhnya memastikan Aisyah dan adik-adiknya berhenti merintih dan mendapat pembelaan sewajarnya.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 January 2014 10:12 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: