Kategori Berita Utama

Wan Junaidi ‘ajar’ adab sopan Dewan Negara

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar terpaksa mengajar “adab sopan” atau peraturan mesyuarat Sidang Dewan Negara kepada Senator PKR Selangor, Dr Syed Husin Ali.

Ini apabila Syed Husin bangun mencelah meminta jaminan dari Menteri Dalam Negeri sendiri bahawa Akta Pencegahan Jenayah 1959 (pindaan) 2013, tidak akan disalahguna untuk tujuan selain jenayah.

wanjunaidiWalaupun mendakwa tidak berkecil hati, namun Dr. Wan Junaidi agak berkata, soalan seperti kenapa Timbalan Menteri yang datang dan bukannya Menteri bagi beliau agak kurang manis.

“Pertama kerana ia merendahkan martabat saya. Apa saya ni bodohkah? Yang kedua perlembagaan mengatakan Timbalan Menteri hendaklah memikul tangggungjawab dan fungsi seorang Menteri penuh dan untuk tujuan itu mempunyai semua kuasa sama seperti Menteri.”

“Maknanya kuasa Menteri dan Timbalan Menteri itu sejajar menurut Perlembagaan. Mengikut peraturan Dewan pula, perkataan Timbalan Menteri tak perlu disebut, sebut Menteri saja sebab Timbalan Menteri dan Menteri sama saja dalam peraturan Dewan,”.

“Sama seperti jika Timbalan Yang Dipertua Dewan mempengerusikan mesyuarat, beliau perlu
dirujuk sebagai Yang Dipertua,” jelas Dr. Wan Junaidi yang arif dengan peraturan mesyuarat kerana sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Syed Husin kemudiannya memperbetulkan keadaan dengan berkata beliau tidak bermaksud meminta jaminan daripada Menteri penuh (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), tetapi merujuk kepada “menteri” yang ada di dalam Dewan, iaitu Dr. Wan Junaidi.

Sementara itu, selepas 2 hari berbahas, Dewan Negara tepat jam 4.45 petang Khamis meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 bagi meminda Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959.

Ia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negara selepas Dr. Wan Junaidi membuat penggulungan yang jelas dan mudah difahami terhadap semua persoalan yang dibangkitkan, khususnya berhubung kebimbangan pembangkang elemen tahanan tanpa bicara dalam akta itu akan diguna
sebagai “senjata” untuk seteru politik.

“Harus diingat bahawa kata kunci yang perlu kita kaitkan dengan undang-undang ini bukanlah tahanan tanpa bicara, tetapi (sebaliknya) pencegahan jenayah. Akta ini memang digubal khas untuk membanteras jenayah berat dan terancang,” katanya. – 10/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 October 2013 9:10 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: