Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Timbalan Pengerusi SUPP Dudong mangsa serangan asid

8 JUN: Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, 58, dikejarkan ke hospital selepas cedera diserang dengan cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali di Lorong Tuanku Osman 4 di Sibu, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari, mangsa yang juga seorang akauntan sedang berjalan ke kereta berhampiran pejabatnya sebelum didatangi dua individu tidak dikenali.

Difahamkan, seorang daripada suspek kemudian menyimbah sejenis cecair ke arah mangsa sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

Ching Yong kemudian bergegas ke sebuah kedai berhampiran sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta selepas mengadu merasa panas pada bahagian muka dan badannya.

Berikutan keadaannya yang agak serius, mangsa kemudian diterbangkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching bagi menjalani rawatan lanjut.

Akibat serangan itu, mangsa melecur 18 peratus di muka, dada dan lengan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kesan lecur 18 peratus pada muka dan badan. Kita sedang mengenal pasti jenis cecair digunakan untuk menyerang mangsa.

“Identiti suspek sedang dikenal pasti. Berdasarkan maklumat diperoleh, dua individu terbabit dalam insiden ini,” katanya.

Ching Yong yang merupakan salah seorang daripada tiga pemimpin SUPP potensi untuk dicalonkan bertanding merebut kerusi Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang aktif mengendalikan kes-kes insolvensi untuk membantu orang awam.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 June 2017 11:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: