Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Timbalan Presiden MCA rayu PM tangguh pemecatan

18 MEI: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong merayu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menangguhkan pemecatan 17,000 kakitangan awam lantikan politik sehingga selepas Aidilfitri.

Menulis di Facebook, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyifatkan kedatangan Ramadan kali ini tidak gembira seperti sepatutnya susulan pengumuman Mahathir itu.

“Saya boleh bayangkan ketidakcelaruan dalam benak fikiran mereka yang bergaji rendah ini untuk memikirkan masa depan keluarga masing-masing, apatah lagi untuk menyambut Ramadan dan Syawal yang mendatang,” katanya.

Mahathir semalam berkata kerajaan akan menyingkirkan 17,000 kakitangan awam dari lantikan politik bagi menjimatkan perbelanjaan negara dan mengelakkan pembaziran.

Menurut Ka Siong beliau menghormati keputusan  dibuat oleh Perdana Menteri kerana memahami antara alasan penamatan kontrak itu adalah bagi tujuan menjimatkan kewangan kerajaan.

“Sungguhpun begitu saya merayu agar YAB perdana menteri dapat memberi pertimbangan supaya penamatkan kontrak itu dapat ditangguhkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mohon kepada YAB supaya kasihanilah golongan ini yang sudah pasti akan terkontang- kanting dan tidak keruan pada bulan yang mulia ini,” katanya.

Beliau juga memohon perdana menteri prihatin dengan nasib umat Islam, yang sebahagian daripada 17,000 itu, yang sepatutnya dapat melaksanakan ibadah puasa dengan selesa.

“Sebagai anak Malaysia yang berasal dari kampung Melayu, sejak kecil lagi saya telah dimaklumkan oleh jiran-jiran Melayu bahawa berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun keempat dalam Islam.

“Bagaimanakah penjawat-penjawat awam yang beragama Islam mampu menunaikan rukun itu jika poket mereka kosong kerana ketiadaan kerja?” katanya.

Beliau juga percaya Mahathir mempunyai prerogatif untuk mengubah keputusan yang telah dibuat atas dasar berperikemanusiaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 May 2018 8:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: