Kategori Berita Utama

TMJ nasihat kerajaan tutup Kosmo, Utusan

13 OKT: Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar laporan sebuah akhbar arus perdana yang dilabelkan menulis gosip murahan hasil daripada temubual dengan baginda.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah bahawa adalah lebih afdal jika akhbar Kosmo yang berada di bawah pengurusan Utusan Melayu Berhad ditutup daripada membazirkan wang.

“Satu jam lebih saya bercakap mengenai bola sepak dan isu-isu semasa, tetapi ayat gurauan yang terakhir saya selama 20 saat itulah yang menjadi tumpuan sekarang.

“Inilah salah satu sebab mengapa saya tidak membaca surat khabar dalam negara kerana sikap terdesak ingin menjual surat khabar dan menulis berita seperti di majalah gosip,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, Jumaat.

Kecaman Tuanku Mahkota Johor itu adalah berdasarkan laporan bertajuk ‘Tunku Ismail guris hati peminat’ yang disiarkan di muka hadapan akhbar Kosmo hari ini

Akhbar Kosmo adalah salah satu produk di bawah Utusan Melayu Berhad yang dikuasai UMNO.

Artikel berkenaan mendakwa para peminat bola sepak tanah air terguris dengan kenyataan presiden FAM itu yang secara sinis menganggap skuad bola sepak kebangsaan sebagai ‘bukan pasukan negaranya’.

Laporan berkenaan merujuk kepada sesi soal jawab bersama wakil-wakil media di JDT Cafe, Johor Bahru sebelum ini apabila Tunku Ismail dilaporkan berkata ‘Pasukan negara anda semua, not my negara (Bukan negara saya). I’m from Johor, you know (Saya berasal dari Johor, anda tahu)’.

Pada masa sama, baginda juga kesal apabila ayat gurauannya itu disalahguna, yang dipercayai bertujuan untuk melaga-lagakannya dengan pihak lain.

“Kepada sahabat-sahabat saya di luar negara ini, inilah slogan Malaysia Boleh. Inilah mentaliti bangsa Melayu saya di sesetengah tempat di Malaysia.

“Nasihat saya kepada kerajaan, lebih baik anda tutup sahajalah syarikat surat khabar tersebut daripada membazir duit rakyat,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 October 2017 2:52 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]