Kategori Berita Utama

Tolak kepentingan politik demi menjaga kepentingan Islam, bangsa, tanahair

1 DIS: Malaysia tidak pernah menyekat kebebasan rakyatnya mempunyai perbezaan ideologi dan politik, tetapi mestilah berada dalam lingkungan sempadan dan batasan.

Bagaimanapun menurut Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, kebebasan memperjuangkan prinsip parti masing-masing itu yang melampau tidak mempunyai nilai jika boleh menjejaskan kepentingan mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Tak perlu kita meleburkan identiti parti masing-masing, teruskan perjuangan parti masing-masing tetapi mesti ada sempadan dan batasan.

Timbalan Menteri Di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bergambar bersama peserta-peserta PEMANAS 5.0 selepas sesi dialog berkenaan isu Mendaulatkan Institusi Raja Dalam Perspektif Agama di PWTC

“Apa batasannya? Adalah hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama kita wajib bersatu, dalam hal yang kita tidak boleh bersama kita bersikap tasamuf atau bertoleransi dan hormat menghormati untuk perbezaan pandangan dan ideologi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai menghadiri program Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2017, di PWTC, Jumaat.

Lantaran itu, beliau menyifatkan permuafakatan UMNO dan PAS dalam perkara tertentu seperti memartabatkan syiar Islam, menjaga kepentingan orang Melayu dan mempertahankan negara, harus mempunyai titik persamaan.

“Tak apa kita berbeza dalam parti politik, sebab itu setakat ini UMNO tidak pernah mengajak PAS untuk kita mewujudkan apa yang disebutkan sebagai Tahaluf Siyasi dalam permuafakatan politik.

“Tetapi apa yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa diungkapkan ialah kita sentiasa mengajak mereka berasaskan prinsip apa yang dinamakan sebagai Taawun Islami iaitu bekerjasama dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama.

“Kepentingan apa? Kepentingan perjuangkan Islam, bangsa kita dan negara yang kita cinta ini,” jelasnya.

Tegasnya lagi, masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu jangan asyik berpolitik dengan parti masing-masing sehingga leka dan mengabaikan perkara yang wajib diperjuangkan iaitu agama, bangsa dan negara.

“Jadi dalam hal yang melibatkan hal-hal kita rasa wajib untuk kita bersatu, kita harus berlapang dada, harus berkompromi dan harus bersama-sama bermuafakat.

“Tetapi hal-hal yang menyentuh soal kepentingan parti masing-masing, seperti siapa yang harus dinobatkan sebagai Perdana Menteri, itu hal yang melibatkan perbezaan yang kita ada prinsip kita sendiri,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 December 2017 12:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: