Kategori Berita Utama

Mahkamah: Tony Pua tiada hak saman PM, kerajaan

13 OKT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman Ahli Parlimen, Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri melakukan salah laku dalam jawatannya sebagai pegawai awam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin dalam keputusannya ketika membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan berkata Pua tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan berkenaan.

Faizah juga berpendapat bahawa wakil rakyat DAP itu tidak menyertakan sebarang butiran berhubung dakwaannya dan saman berkenaan hanya bersandarkan spekulasi semata-mata.

Dalam keputusan yang dibacakan di mahkamah terbuka, Faizah juga berkata Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini yang memutuskan bahawa Perdana Menteri (PM) bukannya pegawai awam.

“Saya berpendapat PM tidak melakukan sebarang salah laku sama ada dalam tahap satu iaitu niat jahat yang dilakukan khusus oleh Najib yang dinamakan sebagai pihak defendan,” ujar Faizah membatalkan saman itu dengan kos RM5,000.

Najib memfailkan permohonan tersebut pada 14 Februari lalu atas alasan, Perdana Menteri bukannya seorang pegawai awam selain tuntutan tersebut membabitkan saman cagaran yang mempunyai tujuan politik yang terselindung.

Manakala kerajaan selaku defendan kedua juga memohon saman berkenaan dibatalkan atas alasan tuntutan tersebut tiada kausa tindakan yang munasabah.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari lalu atas dakwaan terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan yang membabitkan dana 1MDB.

Najib diwakili oleh peguam utama, Tan Sri Cecil Abraham dan peguam bersama, Datuk Mohd. Hafarizam Harun manakala Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 October 2017 11:34 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]