Kategori Berita Utama

TPM arah JAKIM pantau ‘penceramah segera’ pesong hadis

15 FEB: Usaha membanteras sebaran hadis palsu tidak hanya tertumpu pada penerbitan bercetak sahaja, sebaliknya perlu dibuat kepada semua medium termasuk media sosial dan penceramah bebas.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al- Quran (PQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau semua medium bagi mengesan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua agensi tersebut perlu memantau ‘penceramah-penceramah segera’ yang menggunakan hadis-hadis palsu daripada terus memesongkan pengikut-pengikutnya.

“Apa yang paling sukar adalah penceramah yang sebelum ini seorang pemain gitar utama sebuah kumpulan rock.

“Ya, memang ceramah dia merujuk kepada sumber hukum, tetapi tafsirannya berbeza.

“Dia mempunyai pengikut ramai dan pengikutnya taksub. Ini menyebabkan berlakunya amalan yang salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith & Wacana Kawal Selia Hadith Siri II, di Putrajaya hari ini.

Tambah Zahid berkata individu berkenaan harus sedar bahawa bahan-bahan sumber hukum, tidak boleh ditafsir mengikut tafsiran sendiri.

“Apabila hadis palsu diberi tafsiran salah dan dicampur lawak jenaka, daya tarikannya menjadi luar biasa, ia sekali gus merosakkan imej Islam dan memecahkan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith bertujuan mengawal selia penulisan hadis dalam penerbitan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 February 2018 1:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: