Kategori Berita Utama

TPM: Kerajaan berwaspada tangani ancaman pengganas

25 MEI:  Kerajaan dalam keadaan berwaspada dalam menangani ancaman keganasan di Malaysia susulan kejadian letupan bom terbaru di Manchester dan Jakarta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya meletakkan kesiapsiagaan di tahap tertinggi sepanjang masa.

“Jangan ambil mudah perkara ini kerana pengeboman boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa di dunia ini.

“Malaysia juga tidak terlepas jika kita tidak berhati-hati ” katanya selepas menghadiri Hari Data Terbuka 2017 di Bangsar, Khamis.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr Mazlan Yusof.

Isnin lalu, serangan letupan bom yang dipercayai didalangi pengebom nekad berlaku ketika konsert penyanyi antarabangsa, Ariana Grande  di Manchester Avenue sedang berlangsung sehingga mengorbankan 22 nyawa dan 59 dilaporkan cedera.

Malam tadi, kejadian terbaharu iaitu tiga anggota polis terbunuh dan 10 orang awam cedera susulan dua letupan bom di stesen bas Kampung Melayu, timur Jakarta.

Tambah Zahid, serangan yang dilaporkan di Mindanao, Bangkok dan terbaru di Jakarta, dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan militan Daesh, Muhd Wanndy Jedi pada bulan lalu.

“Oleh itu kepercayaan mesti diberi kepada pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan negara.

“Ini adalah kerana, apa yang berlaku di luar boleh berlaku di rantau ini,” kata Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 May 2017 12:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: