Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

8 langkah Pemulihan Cameron Highlands

19 MEI: Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Mengenai Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah di Cameron Highlands memutuskan lapan langkah proaktif demi kepentingan penduduk di kawasan tanah tinggi ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia meliputi tindakan memberi peranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju melakukan pemantauan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Kedua, mesyuarat memutuskan pemantauan dilakukan secara berkala supaya tidak berlaku pencerobohan haram sehingga mengakibatkan hakisan tanah dan banjir luar biasa,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu secara bersama dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) di Tanah Rata hari ini.

Ahmad Zahid berkata, enam keputusan lain termasuk meminta PDTCH melakukan penilaian semula terhadap lebih 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang ditolak sebelum ini.

Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pekerja warga asing di situ, mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengadakan gotong-royong perdana serta membina penempatan baharu kepada 28 keluarga Orang Asli yang tinggal dalam 13 rumah di Sungai Tiang, Lembah Bertam.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu juga bersetuju mempertimbangkan agar semua rumah kedai yang disita sebelum ini dibenarkan beroperasi tetapi dengan dikenakan levi dan bayaran tertentu.

Katanya, jawatankuasa itu juga bersetuju mempertimbangkan pemberian permit penggunaan tanah kepada pengusaha haram yang sudah beroperasi lebih 30 tahun membabitkan kawasan seluas 229.2 hektar.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Hamim Samuri dan Menteri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selepas itu, Ahmad Zahid dijadual melawat tapak projek pemindahan Orang Asli di Kampung Sungai Tiang serta projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembah Bertam di sini.

Beliau juga akan melawat Empangan Sultan Abu Bakar di Habu, Ringlet.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 5:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]