Kategori Berita Utama

TPPA: Batalkan hasrat demo – Mustapa

Kerajaan sekali lagi menegaskan hanya akan menerima Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) berdasarkan terma dan syarat sendiri dan tidak akan mengikut syarat-syarat yang diterima pakai negara lain.

tokpaJusteru itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta supaya pihak yang berhasrat mengadakan demonstrasi ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama bulan hadapan membatalkan hasrat tersebut.

“Kita tidak akan menuruti negara lain…kita hanya akan menandatangani berdasarkan terma dan syarat kita,” katanya.

“Ada yang kata lawatan ini adalah untuk mengajak Malaysia tandatangan TPPA…ini adalah andaian yang tidak benar, maka demonstrasi yang dirancang ada satu dua yang bermula 17 September lalu tidak harus diadakan kerana kerajaan belum buat keputusan,” kata beliau di Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Makin@Marcus Mojigoh.

Tambah beliau, perkara ini tidak seharusnya timbul kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menegaskan lawatan Obama ke Malaysia tiada kaitan dengan TPPA.

 

Terdahulu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (BANTAH) telah mengadakan siri ceramah di 14 lokasi di seluruh negara bermula 17 September lepas.

 

Kemuncak kepada bantahan tersebut pada 11 Oktober depan apabila mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi besar di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).

 

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang baru dilantik, Joseph Y Yun baru-baru ini juga telah menafikan dakwaan TPPA adalah penjajahan bentuk baru negara itu, sebaliknya menegaskan Malaysia antara negara yang akan beroleh manfaat lebih banyak antara 12 negara terlibat dalam rundingan berkenaan.

 

Yun berkata, setiap negara terlibat dalam rundingan itu mempunyai kebimbangan mereka, namun TPPA adalah peluang untuk meningkatkan pelaburan.-24/9/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 September 2013 9:12 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: