Kategori Berita Antarabangsa

Tragedi pesawat Russia: Mayat mangsa nahas ditemui

12 FEB: Dua mayat mangsa nahas pesawat Saratov Airlines An-148 yang terhempas semalam, ditemui di lokasi nahas berhampiran perkampungan Argunovo iaitu 40km dari Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow.

Pesawat penerbangan yang membawa 65 penumpang dan enam anak kapal itu baharu beberapa minit berlepas dari Moscow ke Orsk sebelum ia terhempas.

Memetik laporan Reuters, Presiden Russia, Valdimir Putin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat dan mengarahkan siasatan khas mencari punca nahas.

Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan Rusia, Maxim Sokolov memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mencari punca nahas pesawat Antonov An-148 itu.

Bercakap pada taklimat di Lapangan Terbang Domodedovo Moscow, beliau berkata tugas yang paling mendesak ialah memberi bantuan kepada waris mangsa.

“Tugas utama pasukan khas adalah logistik.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa jawatankuasa siasatan bersama dengan Jawatankuasa Penerbangan Udara Transnasional sedang menjalankan siasatan dan belum ada sebarang kesimpulan boleh dibuat,” ujarnya.

Dalam taklimat sama, Ketua Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan, Alexandr Neradko menjelaskan pesawat bekenaan tidak mempunyai masalah keselamatan.

Bagaimanapun, agensi itu akan tetap menjalankan pemeriksaan tambahan dan melaporkan hasil siasatan kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Sergei Kraevoi memberitahu para doktor dan pakar psikologi akan ditempatkan bersama ahli keluarga bagi memberi sokongan dari segi emosi.

“Selain itu, kami juga sedang mengenal pasti identiti mangsa melalui ujian DNA dengan keluarga-keluarga mangsa,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 February 2018 9:55 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: