Kategori Berita GSTBerita Utama

Tribunal Rayuan beri hak orang ramai tak puas hati terhadap GST

3 APR: Tribunal Rayuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dibentuk bagi memberi ruang kepada mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pegarah Kastam berhubung perkara itu, mengemukakan rayuan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata sistem percukaian yang adil mesti mempunyai ruang untuk orang ramai  menyemak semula apa-apa keputusan yang dibuat.

Justeru, beliau berkata peruntukan disediakan bagi membolehkan Ketua Pengarah Kastam untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan yang dibuat sebelumnya dan membuat keputusan muktamad dalam tempoh masa yang ditetapkan..

gst2

GST mula dllaksanakan April tahun depan

“Selain itu, Menteri Kewangan juga mempunyai kuasa untuk menentukan saraan, terma dan syarat pelantikan anggota Tribunal,” katanya ketika membentang Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Rang undang-undang itu mengandungi 19 Bahagian merangkumi 197 Fasal termasuk Empat Jadual merangkumi Bahagian Satu, Fasal Satu hingga Empat; Bahagian Dua (Fasal Lima hingga Lapan) dan Bahagian Tiga (Fasal Sembilan hingga 18).

GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang dikenakan dan dipungut mengikut Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Ahli parlimen Tambun juga berkata penubuhan Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik GST juga dilaksana bagi memudahkan urusan bayaran balik GST dengan konsep sama seperti tabung ditubuhkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tujuan bayaran balik lebihan cukai pendapatan.

Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan komited dalam membuat bayaran balik GST dalam tempoh 14 hari bekerja jika borang cukai dihantar secara elektronik dan 28 hari bekerja jika dihantar secara manual.

husnids

Ahmad Husni…ada bayaran balik

Ahmad Husni berkata rang undang-undang itu juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menentukan jenis barang dan perkhidmatan yang boleh dikenakan GST pada kadar sifar atau dikecualikan dari dikenakan GST.

Beliau berkata penentuan itu akan dibuat melalui Perintah yang disiarkan dalam warta dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

“GST adalah cukai kepenggunaan yang dibayar apabila seseorang itu membuat pembelian atau berbelanja. Selain itu, semua peniaga yang layak juga perlu mengenakan GST ke atas bekalan,” katanya.

Namun begitu, Ahmad Husni berkata dalam keadaan tertentu, Menteri Kewangan boleh memberikan pelepasan kepada mana-mana orang dari membayar GST ataupun mengenakan GST dengan senarai nama pelepasan dibentangkan di dewan.

Dengan cadangan rang undang-undang ini, katanya, negara akan mempunyai sistem percukaian yang lebih telus, efisien dan mesra perniagaan bagi mencapai status negara maju.

“Pelaksanaan GST sememangnya amat tepat pada masanya dalam mencapai wawasan negara maju berpendapatan tinggi. Ia merupakan langkah kerajaan dalam menyusun semula struktur percukaian negara, di mana sebanyak 106 buah negara telah melaksanakan GST,” katanya.

GST akan dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014.

Kerajaan memperkenalkan GST pada enam peratus bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus. – bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 April 2014 4:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: