Kategori Berita Antarabangsa

Trump dijangka pulihkan hubungan dengan Negara Islam

21 MEI: Donald Trump dijangka berusaha memulihkan hubungan Amerika Syarikat dengan dunia Islam, bila Presiden Amerika Syarikat itu tiba di negara ini Sabtu, sebagai destinasi lawatan luar pertama beliau.

Beliau memecah tradisi dengan tidak melawat ke negara-negara jiran seperti Kanada dan Mexico terlebih dahulu, sebelum berkunjung ke negara-negara lain, seperti dilakukan kebanyakan bekas Presiden Amerika Syarikat sebelum ini.

Sebaliknya, beliau memilih membuat kunjungan ke Arab Saudi dan akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat serta enam negara – Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk-Amerika Syarikat pada Sabtu.

Lebih 50 pemimpin Arab dan Islam termasuk Perdana Malaysia Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat, sidang kemuncak pertama seumpamanya pada Ahad.

Trump sering dituduh mencetuskan Islamophobia semasa kempen presiden, dengan ucapan anti-Islamnya dilaporkan begitu meluas.

Kemudian, beliau memulakan pentadbirannya dengan mengenakan sekatan sementara terhadap pelarian Islam dan larangan pengeluaran visa untuk rakyat dari negara majoriti Islam – Iran, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

“Lawatan ke Riyadh adalah peluang untuk Trump memulih imejnya dengan dunia Islam,” kata seorang diplomat dari ASEAN.

Riyadh juga menunjukkan kepimpinan dengan menjadi tuan rumah kepada pemimpin Islam untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Trump bagi membina hubungan rakan baharu dalam berdepan ekstremisme dan keganasan; dan mempromosi nilai-nilai toleransi, dasar hidup bersama dan kerjasama.

“Mereka juga tidak menggunakan platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kerana mereka hanya mahu menjemput kesemua anggota OIC, kecuali Iran dan Syria – untuk sidang kemuncak itu,” kata diplomat berkenaan.

Ini adalah peranan kepimpinan serantau yang besar dimainkan Arab Saudi dalam membentuk bersama satu perkongsian gabungan Islam dengan Amerika Syarikat dalam menangani keganasan.

Dalam pada itu, Washington pula memerlukan penyertaan dunia Islam dalam memerangi ekstremisme dan keganasan.

Mereka dijangka mengemukakan kaedah untuk membina perkongsian keselamatan lebih cergas dan berkesan untuk menangani dan membendung ancaman keganasan yang semakin meningkat di seluruh dunia dengan mempromosi toleransi dan kesederhanaan.

Trump akan berucap pada Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat pada Ahad, Najib juga dijadual berucap.

Beliau dijangka berkongsi dalam sidang kemuncak itu bahawa jurang yang wujud bukan antara Timur dan Barat, tetapi antara kesederhanaan dan ekstremisme, dan keganasan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana agama – Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain.

Perdana menteri juga dijangka menyentuh mengenai keperluan menangani punca keganasan termasuk menangani isu Palestin.

Beliau akan berkongsi inisiatif Kuala Lumpur dalam memerangi keganasan termasuk melalui program deradikalisasi dan menangani mesej media sosial yang radikal dengan menampilkan imej sebenar Islam menerusi Pusat Digital Serantau Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi.

Satu lagi aspek penting dalam memerangi keganasan adalah dengan menyekat dana mereka, satu inisiatif yang diambil Malaysia, Australia dan New Zealand juga dijangka akan diketengahkan oleh Najib semasa mesyuarat di Riyadh itu.-BERNAMA

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 May 2017 10:17 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: