Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tubuh jawatankuasa tangani semua isu Felda

10 JUN: Kerajaan negeri bersama Felda menubuhkan satu jawatankuasa bagi menangani semua isu yang dihadapi lembaga itu termasuk pemilikan rumah generasi kedua.

Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa itu dipengerusikan bersama antara Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan dua exco kerajaan negeri yang berkaitan.

Menurutnya, inisiatif itu adalah komitmen kerajaan bagi menangani mengenai pemilikan, perumahan dan infrastruktur kawasan Felda di negeri Johor termasuk menangani masalah pembinaan rumah generasi kedua Felda oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Semua ini dilakukan kerana kita mahu peneroka Felda mempunyai milikan yang sah ke atas aset dan tanah yang mereka usahakan dengan titik peluh mereka selama ini dan kita sedar, ia bukan sekadar sebidang tanah tetapi adalah sejarah kehidupan dan maruah mereka para peneroka.

“Di atas tanah inilah mereka datang dan membina kehidupan. Dan di atas tanah inilah mereka membina keluarga dan memeta masa hadapan. Jadi, kerajaan negeri akan pastikan mereka memilikinya secara sah dan termaktub,”katanya dalam ucapan di majlis Program Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, Kulai yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohamed Khaled turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan permohonan hak milik tanah melibatkan seramai 3,533 peneroka  Felda di negeri ini.

Katanya, kelulusan itu adalah baki permohonan dimana 6,866 peneroka telah menerima pemilikan masing-masing, sejak 2013.

“Baki ini melibatkan permohonan yang masih di peringkat perakuan kepada kerajaan negeri, tindakan penyelesaian Bayaran Tahunan Disatukan (CAC) oleh pemohon dan juga tindakan semakan oleh pihak Felda sendiri.

“Pada tahun ini juga, kita berusaha untuk menyerahkan hak milik tanah kepada seramai 1,491 lagi peneroka Felda melibatkan peneroka di rancangan-rancangan Felda Simpang Waha dan Felda Tenggaroh Selatan di Daerah Kota Tinggi; Felda Tenggaroh 4 dan 5 di Daerah Mersing; Felda Maokil 1, 2, 3 dan 4 di Daerah Muar dan Felda Bukit Batu di Daerah Kulai,”katanya.

Beliau turut memohon pertimbangan kerajaan pusat untuk mengiktiraf jalan-jalan dalam perkampungan Felda diberikan status yang sama seperti kampung lain.

Akuinya, perkampungan Felda kini tidak beza dengan perkampungan lain dalam negeri Johor termasuk telah juga diwujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Maka adalah wajar jalan-jalan di kampung-kampung Felda yang berhak milik ini diiktiraf statusnya sama seperti kampung-kampung lain yang diselenggara di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

“Kita memohon agar jalan-jalan ini diterima untuk dimasukkan dalam sistem Marris dan  persetujuan dalam perkara ini adalah satu ibadah dan kebajikan dan lebih-lebih lagi ia dibuat dalam bulan Ramadhan,” katanya.

Di Johor ini,terdapat 73 buah rancangan Felda, meliputi 13 kawasan Parlimen dan 21 dun dengan jumlah 27,641 orang peneroka, dan 146,000 pengundi sekaligus meletakkan Johor selaku negeri yang mempunyai jumlah Felda kedua terbanyak di negara ini.

Mohamed Khaled turut menyatakan sokongan kerajaan negeri  mengenai sebarang usaha kerajaan  untuk memajukan Felda termasuk  mengukuhkan ia dan menjadikan ia sebuah konglomerat berprestasi unggul.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 June 2017 12:06 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: