Kategori Berita Utama

Tuduh RoS sabotaj, Mahathir cuba tagih simpati rakyat

7 FEB: Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) cuba menggagalkan usaha pembangkang mendaftar PH adalah satu tindakan bagi memburukkan kerajaan BN.

Sedangkan RoS secara jelas memaklumkan beberapa masalah yang gagal diatasi menjadi punca kepada PH gagal diluluskan pendaftarannya oleh agensi kerajaan itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata Mahathir melontarkan tuduhan sedemikian juga adalah untuk meraih simpati serta menarik sokongan rakyat.

“Saya yakin dan percaya seperti mana ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa RoS melakukan siasatan secara profesional berdasarkan kepada laporan yang diterima dan memang jelas tindakan parti itu melanggar perlembagaan yang mereka sendiri adakan.

“Pokok pangkalnya 400 aduan yang diterima oleh RoS datangnya dari pemimpin akar umbi PPBM itu sendiri, oleh itu menjadi tanggungjawab RoS untuk meneliti setiap laporan yang dikemukakan.

“Saya kira tuduhan Tun M itu bermotifkan politik, sedangkan CEC DAP, RoS boleh luluskan selepas mereka mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, dalam satu sidang media, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH menyifatkan RoS bagaikan sengaja melengah-lengahkan pendaftaran PH sebagai satu cubaan mensabotaj gabungan pembangkang itu.

Sementara itu, Sohaimi (foto) berkata Pengerusi PH itu tidak perlu bermain politik dalam isu sebegini sebaliknya perlu perbaiki kelemahan dalam parti itu sendiri dan tidak sesekali menuding jari pada pihak lain untuk menutup kesalahan mereka.

“Soal laporan yang dibuat kepada RoS mencurigakan itu PPBM boleh mengadakan siasatan dalaman kerana mereka yang membuat laporan itu adalah dari kalangan ahli dan pemimpin parti itu sendiri.

“Itu masalah rumah tangga mereka sendiri,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 February 2018 5:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: