Kategori Berita Utama

Tuduhan MPs pembangkang Speaker sekutu rasuah berniat jahat

8 MAC: Ahli-ahli Parlimen pembangkang perlu berhenti membuat tuduhan jahat dan tidak berasas terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kononnya menjadi sekutu untuk menutup skandal rasuah apabila menolak soalan atau usul berkaitan 1MDB dan kapal mewah milik Jho Low.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, Speaker sudah menjalankan tugas dengan baik tanpa menyekat soalan-soalan atau usul yang tidak menyalahi peraturan mesyuarat.

Apatah lagi menyekat kebebasan seorang ahli wakil rakyat daripada menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen Dewan Rakyat yang mulia itu.

Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Abdul Samad bercakap pada sidang media berhubung isu MP DAP minta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia letak jawatan di Parlimen

Menurut Shahrir, desakan tiga ahli parlimen DAP supaya Pandikar meletak jawatan kerana didakwa menegakkan kebenaran hanya mainan politik pembangkang menjelang PRU ke 14 serta mahu mengalih isu pemimpin DAP yang sedang disiasat kerana rasuah di Pulau Pinang.

Beliau mengulas tindakan ahli parlimen DAP Taiping Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) yang membuat kenyataan Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi “sekutu untuk menutup skandal rasuah”.

Mereka menuntut Pandikar meletakkan jawatan kerana menolak usul segera difailkan pembangkang berhubung rampasan kapal layar mewah milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.

“BNBBC melihat tuduhan tiga Ahli Yang Berhormat ini berniat jahat dan membuat takrifan bahawa Speaker melakukan kesalahan berat apabila dituduh sebagai “sekutu untuk menutup skandal rasuah.

“Serangan ahli parlimen pembangkang terhadap Speaker berhubung isu 1MDB bukan perkara baru, sebaliknya soalan-soalan berkaitan 1MDB dibangkit pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya dalam sidang media bersama ahli-ahli BNBBC di Parlimen, Khamis.

Turut serta Timbalannya Datuk Seri Bung Moktar Rain dan Setiausaha BNBBC Datuk Dr Latif Ahmad.

Tegas Shahrir, ternyata, soalan-soalan berkaitan 1MDB memang dirancang kerana pembangkang berpendapat Speaker akan menolak soalan berkaitan kerana sebahagiannya adalah subjudis.

Katanya, bukan semua soalan atau usul berkaitan 1MDB ditolak Dewan Rakyat.

“YB Tan Sri Pandikar dalam sidang media pada 27 Julai 2017 memaklumkan 19 soalan berkaitan 1MDB telah dibenarkan untuk dibahas pada sesi tersebut.

“Ini sekaligus menyangkal tuduhan oleh YB pembangkang kerana masih ada soalan berkaitan 1MDB dalam aturan mesyuarat.

“Kebanyakan soalan yang dikemukakan ditolak kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (c); kerana mengandungi banyak unsur tuduhan dan direka-reka,” jelas Ahli Parlimen Johor Bahru itu.

Sebagai ahli parlimen, wakil rakyat pembangkang seharusnya tahu mengenai peraturan mesyuarat dan kuasa Speaker menerima atau menolak soalan atau usul yang dikemukakan.

Malangnya, kerap kali ahli-ahli parlimen pembangkang tidak menghormati kedudukkan Speaker dengan mempertikai keputusan beliau yang dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat serta jawatannya.

“Jelas, keputusan dan tindakan Speaker bukan cuba ‘menyembunyikan sesuatu dan menutup kebenaran’ seperti didakwa oleh tiga ahli parlimen DAP tersebut,” ujarnya lagi.

Malangnya, kata Shahrir ketiga-tiga ahli parlimen DAP tersebut yang juga pengamal undang-undang yang mendesak Pandikar melepaskan jawatan Speaker membuat kenyataan seperti mereka yang tidak tahu undang-undang.

“Mereka patut mengambil pengajaran bagaimana Ahli Parlimen DAP Batu Gajah Fong Po Kuan digantung tugas enam bulan sebagai Ahli Parlimen kerana menghina dan enggan memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamad Zahir Ismail kerana menuduh Speaker menyalahguna kuasa budibicara ketika menolak usul mengenai isu peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) pada 2001.

Sepanjang tempoh tersebut, Fong Po Kuan juga tidak dibayar semua bayaran dan elaun sebagai Ahli Parlimen,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Shahrir berkata pihaknya akan mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap tiga ahli parlimen DAP itu kerana menghina Speaker dan Dewan..

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 March 2018 1:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: