Kategori Kolum Ahli Parlimen

Tugas kami bukan setakat soal dan bahas

Bangkang dan terus bangkang.Itu nampaknya seolah menjadi SOP atau aturan kerja Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dulu,kini dan selamanya dalam sidang Dewan Rakyat.

Harapan untuk melihat wujudnya pembangkang yang konstruktif masih lagi menjadi harapan.

Segala yang hendak dibawa oleh kerajaan…ada saja tidak kena dikaca mata mereka.

shahrir-5xxKita akui dalam dunia ini tiada yang sempurna 100 peratus.Namun kalau nak ikut apa yang pembangkang gambarkan dalam sidang Dewan Rakyat dan putar di luar sana tentu negara ini sudah lama teraba-raba dalam kegelapan.

Hakikat sebaliknya kita terus dapat menikmati udara segar hasil kemajuan dan pembangunan negara.

Pada hari Selasa 22 Oktober lalu blok pembangkang bergegar mendabik dada dakwa konon menjadi juara bila kerajaan memutuskan untuk menarik balik cadangan dua kluasa dalam Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 pada hari Selasa 22 Oktober lalu.

Ia adalah berkaitan cadangan hukuman pada kesalahan mencemar bendera Jalur Gemilang dan vandalisme yang dianggap terlalu berat dan tidak wajar.

Mereka mungkin naik tocang kerana merasakan dua Ahli Parlimen Barisan Nasional ,Datuk Bung Mokthar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang) menyertai bantahan mereka terhadap dua kluasa itu.

Pandangan itu disuarakan semasa perbahasan selepas ia dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada hari Isnin.

Apa sudah jadi…Ahli Parlimen BN pun sokong suara pembangkang? Bagi yang jarang mengikuti sidang Dewan Rakyat mungkin timbul tanda tanya itu dan pelbagai persepsi lain.

Sebenarnya ia bukan sesuatu yang luar biasa.

Cuba dengar masa sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.Ahli BNBBC juga cukup kritikal mempersoalkan jika mereka tidak puashati dengan jawapan yang diberi oleh menteri dan timbalan menteri.

bung-1xx

Kini dengan adanya siaran langsung sesi soal jawab di RTM setiap pagi dan online streaming di internet tayang seluruh sidang Dewan Rakyat semua orang boleh lihat apa yang berlaku.

Silap besar kalau siapa beranggapan ahli BNBBC bersikap pejam mata tutup telinga menurut apa saja yang dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat tanpa soal jawab.

Sebagai wakil kepada rakyat yang ramai di luar sana BNBBC sentiasa prihatin.Pokok pangkalnya kita tidak sekali-kali akan bersikap sokong membawa rebah.

Atas sebab itu dalam kes dua kluasa itu Datuk Bung dan Datuk Seri Azalina turut bersuara kerana merasai ia  tidak munasabah.

Pendirian mereka berdua didokong oleh BNBBC.

Ini jelas semasa mesyuarat khas BNBBC yang diadakan pagi Selasa esoknya.Pandangan itu disampaikan secara langsung kepada Nancy Shukri yang hadir dalam mesyuarat itu.Menteri itu kemudian mengumumkan penarikan balik dua kluasa berkenaan.

Kita berpendapat hukuman yang patut dikenakan pada dua kesalahan itu sewajarnya berbentuk ‘pengajaran’.Misalnya penjara 4 atau 5 tahun sudah memadai.

Bayangkan dalam kes cemar bendera jika ia diletakan dibawah kesalahan penderhakaan ia boleh membawa hukuman mati.

Kita faham perasaan marah kebanyakan rakyat terhadap perbuatan mencemar bendera seperti yang pernah beberapa kali berlaku termasuk di Dataran Merdeka semasa malam ambang Merdeka Ogos lalu.

Hukuman keatasnya haruslah setimpal tetapi tidaklah hingga peringkat hukuman dibawah kesalahan penderhakaan.

Blok pembangkang tentu cukup arif tentang sistem Dewan Rakyat.Mereka boleh menjerit sekuat manapun .Sebaliknya jika ahli BNBBC hanya berpeluk tubuh dan menyokong cadangan dua kluasa ia sudah pasti akan diluluskan dengan suara majoriti.

Jadi tidak perlu mereka pura-pura bodoh dengan mendakwa menjadi juara yang mencetuskan penarikan balik dua kluasa itu.

Kita faham sangat itu sudah menjadi lumrah politik mereka.

Secara keseluruhan BNBBC sejak awal mendokong penuh langkah kerajaan hendak memperkasa Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 untuk membenteras gejala jenayah terancang bagi menjamin keselamatan orangramai.

shahrir-parlimenxxSebaliknya blok wakil rakyat pembangkang cuba mengagalkan kelulusan rang undang-undang yang penting itu.Alhamdullilah mereka tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada BNBBC.

Kita sendiri hairan melihat rentak perbahasan blok pembangkang yang terlalu ambil berat hak asasi penjenayah.Ramai yang bertanya apakah mereka memandang ringan hak asasi mangsa-mangsa jenayah.

Harapan saya agar peranan BNBBC tidak disalah anggap.

Tugas dan tanggongjawab kami sebenarnya cukup meluas.Berbahas dan mengemukakan soalan dalam sidang Dewan Rakyat cuma sabahagian darinya.Begitu juga tugas menjaga hal ehwal rakyat yang diwakili di kawasan.

Mungkin ramai yang tidak sedar di Parlimen ada pelbagai Kaukus yang melibatkan penyertaan BNBBC.

Yang terbaru ialah Kaukus mengenai Perjanjian Persahabatan Trans-Pasifik (TTPA) yang mencetuskan perbahasan di pelbagai gelanggang.

Bukan sahaja di pihak kerajaan tetapi BNBBC tegas berpendirian kita tidak sekali-kali akan korbankan kepentingan rakyat dan negara dalam soal TTPA.

Melalui kaukus itu dan kaukus-kaukus lain yang dibentuk, BNBBC akan terus berperanan dan mengambil bahagian bagi membuktikan kebertanggungjawaban sebagai ahli Parlimen yang membawa suara rakyat.

Berbeza dengan blok pembangkang,ahli BNBBC sentiasa rasional kerana kita sering diberi penerangan oleh kementerian dan agensi-agensi berkaitan mengenai sesuatu dasar dan rancang undang-undang baru yang hendak dibawa ke Parlimen.

Biasanya dalam sesi penerangan itu kita sudah bersoal jawab dan meminta maklumat terperinci diberikan.

Isu dua kluasa itu adalah perkara yang terpencil.

Kita bersyukur dalam penggal Parlimen ke 13 BNBBC mempunyai gandingan ahli baru dan lama yang mantap untuk berhujah dalam apa jua isu.

Jumlah ahli BNBBC kurang sikit dari penggal lalu namun blok pembangkang cukup tahu benteng teguh yang mereka kena hadapi pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat.

Tan Sri Shahrir Samad
Pengerusi BNBBC
26/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 October 2013 1:57 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: