Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tumpahan minyak hampiri kawasan RAPID Pengerang

19 JUN: Sebahagian tumpahan minyak kapal MT Putri Sea yang meletup dan karam Khamis lepas, kini menghampiri kawasan Projek Pembangunan Integrasi Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata pihak RAPID telah menggerakkan tindak balas Tier 1, dengan menggerakkan peralatan kawalan dan kakitangan untuk menangani tumpahan tersebut.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi berkaitan akan meneruskan kerja-kerja pemantauan tumpahan minyak serta mengambil langkah-langkah kawalan bagi menangani kejadian itu,” katanya.

Awal pagi Khamis lepas, kapal tangki itu meletup dan karam di kedudukan 4.6 batu nautika dari Tanjung Setapa, Pengerang.

Wan Junaidi berkata pada peringkat awal siasatan pihaknya mendapati jalur minyak sepanjang satu kilometer di permukaan laut.

Pemantauan darat yang dibuat sehingga 17 Jun, mendapati tiada kesan sebarang tumpahan minyak di kawasan pantai yang berhampiran tempat kejadian sehubungan itu JAS akan meneruskan pemantauan darat untuk mengesan sebarang minyak yang mendarat di pantai.

Jawatankuasa Operasi Negeri yang dipengerusikan JAS Negeri Johor telah bermesyuarat pada Sabtu dan telah merancang tindakan-tindakan bagi mengawal tumpahan tersebut dan memastikan bahawa tiada tumpahan minyak yang sampai ke pantai, tambah kenyataan itu.

RAPID adalah projek Petronas bernilai RM60 bilion di selatan Semenanjung Malaysia yang dijangka mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehingga 300,000 tong sehari penapisan minyak mentah untuk penghasilan produk petroleum seperti petrol, bahan bakar jet dan diesel bagi memenuhi keperluan pertumbuhan sektor petroleum selain untuk dieksport.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 June 2017 10:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]