Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tun M: Singkir Muhyiddin, perjuangan PPBM gagal

23 MEIPengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau digunakan oleh presiden partinya untuk kepentingan politik.

Pada masa yang sama mantan perdana menteri itu terus mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan beberapa desakan menuntut bekas Timbalan Perdana Menteri itu supaya meletak jawatan.

“Setelah disingkir, tidak seperti orang lain yang kehilangan jawatan, Muhyiddin tidak jauhkan diri dari saya.

“Sebaliknya beliau bersedia untuk bersama menubuh PPBM dan menjadi Presidennya. Beliau juga menerima cadangan saya supaya saya menjadi Pengerusi Parti, kedudukan yang dipandang lebih tinggi darinya.

“Banyaklah kerja yang dibuat oleh beliau untuk menjayakan PPBM, jauh lebih dari orang yang bercadang menyingkirnya,” kata Mahathir dalam catatan terbaharunya di laman blognya, petang Isnin.

Jelas beliau, adalah sukar untuk memujuk pemimpin UMNO terutama mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya meninggalkan parti dan menyertai gerakan melawan parti keramat itu..

“Tetapi Muhyiddin memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menjadi Timbalan Presiden UMNO. Jika Najib turun kerana apa-apa sebab Muhyiddin lah yang akan jadi Perdana Menteri,” kata bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu.

Sebelum ini, beberapa akar umbi di Perak yang diketuai Ketua Pendaftar PPBM negeri, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar mendesak Muhyiddin supaya meletak jawatan.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Pengerusi Pendaftar PPBM Perak, Faizal Amumu yang dilaporkan berkata kenyataan Azrul menyimpang daripada perjuangan ahli parti.

Sementara itu, Mahathir berkata usaha pihak tertentu untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai satu tindakan untuk menggagalkan perjuangan PPBM.

“Jika hari ini beliau disingkir, parti akan berpecah kerana ramai ahli parti yang menyokongnya. Maka akan gagallah usaha memenangi PRU-14,” kata beliau lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 May 2017 3:12 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: