Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tun Mahathir pulangkan 2 pingat kebesaran Selangor

11 DIS: Tun Dr Mahathir Mohamad difahamkan telah memulangkan dua pingat yang diterimanya daripada Sultan Selangor, termasuk satu daripadanya yang tertinggi di negeri itu.

Perkara itu disahkan seorang pemimpin PPBM kepada Mkini hari ini iaitu Pengerusi Biro Strategi dan Dasar PPBM Datuk Rais Hussin.

“Betul,” kata Rais.

Menurut Rais keputusan memulangkan pingat kebesaran negeri itu dibuat Dr Mahathir atas pertimbangannya sendiri.

“Sudah gaharu cendana pula…,” katanya memetik sebahagian daripada peribahasa Melayu yang menyatakan mengenai sesuatu hal yang jelas nyata.

Difahamkan dua pingat yang dikembalikan pengerusi PPBM itu masing-masing diterima daripada Sultan Selangor pada 1978 dan 2003.

Ia diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam Khamis lalu.

Awal November lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, baginda bertitah tindakan itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sultan Sharafuddin juga menyatakan rasa kecewa dan murkanya atas ucapan Dr Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada sesuatu masa.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Okt 2003.

Dr Mahathir menerima penghargaan itu pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah di Kelang.

Penganugerahan pingat itu dihadkan hanya kepada 25 orang pada sesuatu masa sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan individu yang terpilih.

Sultan Sharafuddin turut memberi pandangan mengenai Dr Mahathir dalam temu bual baginda dengan akhbar The Star beberapa hari lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 December 2017 11:44 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: