Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Tunjukkan solidariti kita pertahankan kesucian Islam

22 DIS: Umat Islam wajib menunjukkan penentangan terhadap perkara yang boleh menganggu gugat kesucian umat Islam.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, umat Islam terutamanya di negara ini tidak boleh memandang ringan dengan mengambil sambil lewa terhadap pengistiharan bandar ketiga suci Islam sebagai ibu negara Israel baru-baru ini.

“Jadi kita nak tunjukkan apa yang kita buat sebenarnya bukan sahaja solidariti dan juga kesepaduan kita, tapi dalam masa sama kita nak tunjukkan bahawa orang -orang Islam harus diberi perlindungan oleh sesama umat Islam.

“Ia tak boleh membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja, terutamanya kita tahu Baitulmaqdis, Masjid Al Aqsa ini tempat ketiga suci umat Islam dan merupakan kiblat yang pertama untuk umat Islam,” katanya ketika ditemui pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat.

Justeru itu Shahidan menyeru umat Islam khususnya di Malaysia melakukan apa sahaja mengikut kemampuan untuk mempamerkan penentangan terhadap keputusan yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Jadi kita kena pertahankan habis-habisan dan bukan sahaja seperti perhimpunan begini tetapi kena buat lebih dari itu.

“Yang itu biarlah kerajaan putuskan apa yang harus dibuat selepas ini.

“Sekarang ini kita bersatu bersama sama untuk menunjukkan penentangan terbuka kepada Amerika dan Israel,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Sementara itu seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula melahirkan kesyukuran terhadap keputusan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak keputusan Trump itu.

“Syukur kepada Allah, 128 negara bersetuju terhadap resolusi membantah apa yang dibuat oleh AS dan juga Trump terutamanya.

“35 negara berkecuali dan sembilan negara menyokong supaya Tel Aviv dipindahkan ke Baitulmaqdis.

“Sembilan negara itu ialah AS, Israel dan tujuh negara kecil yang tak ternama pun,” jelasnya.

Ahmad Maslan juga berharap himpunan yang diadakan ini akan menjadi titik tolak kepada penyatuan umat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Hari ni kita berkumpul dan sejarah yang cukup menarik dan bermakna kepada perjuangan umat Islam keseluruhannya terutama perjuangan umat Islam di Palestin.

“Mudah-mudahan apa yang kita buat di Malaysia akan diterima oleh Allah dan menjadi penyatuan kepada perjuangan umat Islam di seluruh Malaysia dan seluruh dunia,” ujarnya.

Himpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam dari seluruh negara.

Apa yang lebih membanggakan himpunan itu telah menunjukkan perpaduan umat Islam di Malaysia dan mengenepikan perbezaan ideologi politik demi menunjukkan solidariti mempertahankan perkara yang mencemarkan kesucian umat Islam.

Bagaimanapun hasrat untuk melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kesampaian.

Difahamkan Abdul Hadi tidak dapat hadir atas faktor kesihatan dan ucapan Presiden PAS diwakilkan oleh anaknya Khalil Abdul Hadi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 December 2017 8:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: