Kategori Analisa Isu Semasa

UCAPAN PENUH RANG UNDANG-UNDANG ANTIBERITA TIDAK BENAR 2018

29 MAC: Tuan Yang di-Pertua,

  1. Dengan izin fake news is bad news. RUU hari ini RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang akan dibentangkan oleh saya tidak akan menyekat kebebaran bersuara sebaliknya menyekat kebebasan penularan berita tidak benar. Jika seorang individu kehilangan ahli keluarga, jika sebuah syarikat mengalami kerugian, jika sebuah institusi kehilangan kepercayaan, jika sebuah negara kehilangan martabat, ia boleh bermula dengan satu berita tidak benar sahaja.

 

  1. Dalam dunia yang penuh pancaroba ini, kita digegarkan dengan pelbagai berita yang tidak benar. Sejak kebelakangan ini, Malaysia sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesan daripada penyebaran berita tidak benar yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

 

  1. Platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya sering menerima kritikan hebat oleh pelbagai pihak akibat penularan berita dan maklumat yang tidak benar secara berleluasa yang pada masa ini masih belum ada jalan penyelesaian yang berkesan dan konkrit.

 

  1. Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh bin Tun Said Keruak telah menyatakan sebelum ini bahawa KKMM melalui SKMM terus memperkasa tindakan penguatkuasaan. Berdasarkan analisa yang dijalankan oleh pihak SKMM, majoriti masyarakat Malaysia memperoleh berita tidak ditentu sah atau palsu daripada sumber WhatsApp 84 peratus, diikuti oleh Facebook 8 peratus, blog 4 peratus, dan lain-lain 4 peratus.

  1. Bagi kes berkenaan dengan penyebaran berita palsu di pelbagai platform media sosial telah disiasat. Selain tindakan siasatan dan pendakwaan, sejak tahun 2017 hingga Februari 2018, SKMM juga telah mengambil tindakan terhadap 4,358 akaun palsu, dan 80 peratus daripada jumlah tersebut telah dipadam oleh penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pembekal perkhidmatan masing-masing. Dalam tempoh yang sama, SKMM juga telah mengambil tindakan sekatan terhadap 40 laman sesawang portal dan blog yang menyebarkan kandungan maklumat serta berita berunsur palsu.

 

  1. Pihak SKMM juga telah melancarkan portal my bagi membolehkan orang awam menyemak berita dalam talian yang diragui kesahihannya. Dimaklumkan, portal tersebut mendapat tindak balas positif daripada masyarakat umum berdasarkan jumlah layaran sehingga kini telah mencapai lebih 25 juta layaran dengan purata hampir 2 juta layaran setiap bulan sejak pelancarannya pada 14 Mac 2017.

 

  1. Ledakan teknologi umpama “cendawan tumbuh selepas hujan” memangkinkan lagi penyebaran berita tidak benar. Platform media sosial yang seharusnya menjadi wadah komunikasi yang efektif, kini berubah selera sebagai wahana perkongsian berita tidak benar. Sebenarnya, bukan salah media sosial tetapi salah segelintir pengguna yang memesongkan fungsinya. Oleh itu, isu ini perlu diatasi dengan segera agar ia tidak mencemarkan dan meruntuhkan institusi negara yang telah kita bina selama ini.
  2. Dalam Surah Al Hujurat ayat 6 menyebut bahawa:

Allah berfirman,

 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

 

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.

 

  1. Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor juga berkata, menyebarkan be­rita palsu adalah jelas tergolong sebagai perbuatan dosa yang sememangnya amat dilarang oleh Islam.

 

  1. Izinkan saya memetik kata-kata, Pope Francis dalam 52nd World Day of Social Communications yang menyatakan bahawa “In today’s fast-changing world of communications and digital systems, we are witnessing the spread of what has come to be known as ‘fake news,'” dan tambah beliau lagi bahawa, ‘Fake News’ Is Evil dan ‘accuracy of sources and protecting communication are real means of promoting goodness, generating trust, and opening the way to communion and peace’

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Buat masa ini, terdapat peruntukan dalam undang-undang sedia ada yang menyentuh mengenai pembuatan, penerbitan dan penyebaran berita atau maklumat seperti yang berikut:

 

  • Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan [Akta 574], Seksyen 124H dan Seksyen 124I Kanun Keseksaan serta Seksyen 298A Kanun Keseksaan;

 

  • Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301];

 

  • Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588];

 

  • Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 [Akta 15]; dan

 

  • Seksyen 4 hingga 7 Akta Fitnah 1957 [Akta 286].

 

  1. Walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah ini tidak dapat dikawal secara efektif dan pantas berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks. Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Sebagai contohnya, negara kita telah digemparkan dengan kehilangan pesawat Boeing milik Malaysia Airlines MH370. Banyak berita tidak benar pada masa itu mengenai kehilangan pesawat tersebut sehingga menjejaskan perasaan ahli keluarga dan saudara-mara terdekat penumpang pesawat tersebut. Antara berita tidak benar yang tersebar adalah mengenai pesawat tersebut telah ditembak dan dijumpai. Bayangkan perasaan ahli keluarga mangsa MH370 yang sentiasa menunggu berita tentang kepulangan mangsa.

 

  1. Dalam komuniti perniagaan pula, Syarikat McDonalds juga terpaksa berdepan dengan tindakan boikot apabila berita tidak benar dikatakan menyokong dan menyalurkan dana kepada Israel iaitu Jewish United Fund (JUF) selain dikatakan mengeluarkan ‘Quarter Pounder With Cheese’ yang mengandungi babi yang disebarkan melalui media sosial. Manakala, syarikat BATA pula terpaksa menanggung kerugian lebih RM500,000 apabila tapak kasut keluarannya dikatakan mempunyai rekabentuk menyerupai kalimah “Allah”. Syarikat Bata terpaksa menarik semua kasut tersebut daripada pasaran dan menukar acuan tapak kasut tersebut dengan kos yang tinggi.

 

  1. Selain itu, insiden 20 kontena durian Musang King dari Malaysia yang ditolak oleh Negara China yang mengandungi racun serangga juga merupakan berita tidak benar yang memberi gambaran yang tidak baik terhadap industri pengeksportan Negara ini.

 

  1. Berita tidak benar juga tidak terkecuali dalam pentas antarabangsa. Syarikat gergasi Starbucks terpaksa menutup operasi salah satu kedainya di Atlanta Amerika Syarikat apabila tersebar berita tidak benar bahawa salah seorang pekerjanya yang berketurunan African-American telah meracuni minuman pelanggan di restoran itu.

 

  1. Queen Elizabeth II turut menjadi mangsa apabila tersebar berita bahawa baginda telah mangkat di Twitter. Bintang Aksi terkemuka Jackie Chan dan Sylvester Stallone atau dikenali sebagai Rocky/Rainbow turut menerima tempias yang sama di mana tersebar di sosial media bahawa mereka telah meninggal dunia.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Beberapa negara luar telah mula menyedari bahawa isu penyebaran berita tidak benar merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat (information world) yang perlu ditangani secara efektif dan segera.

 

  1. Di Singapura, suatu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis-jenis pelaku dan motif mereka dalam menyebarkan berita tidak benar dan kesan penyebarnya. Ini termasuklah kemungkinan untuk mengadakan suatu undang-undang baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar.
  2. Di Perancis, usaha sedang diambil untuk mengkaji kerelevenan undang-undang sedia ada berhubung dengan penerbitan dan penyiaran berita tidak benar selaras dengan perkembangan teknologi maklumat. Selain itu, Kerajaan Perancis juga telah mengumumkan bahawa suatu undang-undang baharu akan diadakan bagi maksud ini khususnya untuk mengadakan prosedur yang lebih efektif dan cepat untuk menghalang penyebaran berita tidak benar.

 

  1. Selain itu, Republik Czech pula mempunyai suatu unit khusus yang dikenali sebagai Unit “Anti-Fake News” untuk menangani isu penyebaran berita tidak benar. Melalui Unit ini, pakar yang ditugaskan di Unit ini akan meneliti maklumat tidak benar yang disebarkan dan akan mengambil langkah untuk membetulkan berita tidak benar tersebut melalui akaun Twitter khas yang diwujudkan. Selain itu, suatu laman sesawang Kerajaan telah diwujudkan secara khas untuk menjelaskan fakta sebenar mengenai berita itu.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Suruhanjaya Eropah (EC) pada masa yang sama telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengekang penyebaran berita tidak benar. Antara langkah yang diambil ialah menubuhkan High Level Group (HLEG) on Fake News and Online Disinformation yang bertujuan untuk mengkaji dengan mendalam isu berhubung dengan penyebaran berita tidak benar dalam kalangan negara anggota Suruhanjaya Eropah dan mencadangkan dasar-dasar yang bersesuaian. HLEG ini dianggotai oleh wakil daripada NGO, penyedia platform media sosial, pertubuhan media berita, persatuan wartawan dan ahli akademik. Suruhanjaya Eropah juga telah memulakan konsultasi awam mengenai inisiatif untuk mengekang penyebaran tidak benar dan tarikh akhir pengemukaan maklum balas tersebut ialah pada Februari 2018.

 

  1. Setakat ini, didapati hanya Jerman yang telah menguatkuasakan undang-undang yang berhubung dengan kandungan tidak sah (unlawful content) termasuklah berita tidak benar, iaitu Network Enforcement Act (Netzd). Undang-undang ini terpakai bagi penyedia perkhidmatan telemedia yang menyediakan jaringan media Di bawah undang-undang ini, penyedia perkhidmatan telemedia dikehendaki membuat laporan berhubung dengan aduan mengenai penyebaran kandungan tidak sah di media sosial dan mengadakan prosedur untuk menangani aduan tersebut.
  2. Filipina juga telah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar dengan niat jahat. Walau bagaimanapun, Rang Undang-Undang ini masih dipertimbangkan di peringkat Jawatankuasa.

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Lantaran itu, Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Berkaitan Dengan Isu Penyebaran Berita Tidak Benar (Jawatankuasa Khas) yang dipengerusikan oleh saya untuk mengkaji keperluan menilai semula undang-undang sedia ada berkaitan dengan isu penyebaran berita tidak benar bagi menentukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan sesuai dengan perubahan semasa teknologi maklumat.

 

  1. Beberapa mesyuarat Jawatankuasa Khas telah diadakan. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia dan wakil NGO termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Persatuan Wartawan Melayu.

 

  1. Kerajaan juga telah bersetuju agar keahlian Jawatankuasa ini diperluaskan kepada ahli-ahli akademik daripada institusi pendidikan tinggi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil rakyat bagi memastikan inisiatif Kerajaan ini mendapat semua pandangan yang sewajarnya. Sehubungan dengan itu, jemputan ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas tersebut juga telah dikemukakan kepada antara lain, beberapa wakil-wakil rakyat bagi mendapatkan pandangan dan cadangan berkenaan isu penyebaran berita tidak benar.

 

  1. Satu sesi perbincangan antara saya bersama wakil-wakil penyedia platform media sosial (platform providers) iaitu Asia Internet Coalition (IAC), Google, Facebook, Youtube dan Twitter telah diadakan di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Sesi perbincangan ini merupakan satu lagi usaha Kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak pandangan dan input daripada wakil-wakil penyedia platform media sosial tersebut untuk memperkenalkan RUU ini. Sesi perbincangan tersebut telah mendapat reaksi positif dan secara tidak langsung membuktikan Kerajaan sentiasa bersikap inklusif dalam merangka sesuatu dasar atau undang-undang baharu.

 

  1. Sesi taklimat kepada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Majlis Senator Malaysia, Ahli-Ahli Parlimen dari Barisan Pembangkang termasuk senator Pembangkang dan Pengamal Media Tempatan Dan Antarabangsa juga telah diadakan masing-masing pada 26 dan 27 Mac 2018.

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. RUU ini digubal selaras dengan punca kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam perenggan (a) Fasal 2 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan:

 

(2)       Parliament may by law impose – 

  • on the rights conferred by paragraph (a) of Clause (1), such restrictions as it deems necessary or expedient in the interest of the security of the Federation or any part thereof, friendly relations with other countries, public order or morality and restrictions designed to protect the privileges of Parliament or of any Legislative Assembly or to provide against contempt of court, defamation, or incitement to any offence;

 

  1. Selain itu, RUU ini juga adalah selaras dengan matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia yang diperuntukkan dalam subseksyen 3(2) Akta 588 khususnya perenggan 3(2)(b), “menggalakkan pewujudan masyarakat madani yang dalamnya perkhidmatan berdasarkan maklumat akan menyediakan asas bagi peningkatan yang berterusan kepada mutu kerja dan hidup” dan perenggan 3(2)(j), “menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian”.

 

  1. RUU ini akan melengkapi (complement) peruntukan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, skop RUU ini luas dan eksklusif bagi menangani kesalahan-kesalahan mengenai berita tidak benar secara menyeluruh dan efektif.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Secara keseluruhannya, RUU ini mengandungi 4 Bahagian, iaitu Bahagian I mengandungi peruntukan Permulaan, Bahagian II mengandungi peruntukan kesalahan-kesalahan berhubung dengan berita tidak benar, Bahagian III mengandungi peruntukan mengenai perintah mahkamah untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar manakala Bahagian IV mengandungi peruntukan pelbagai. Perincian 4 Bahagian tersebut adalah seperti berikut:

 

  1. i) Bahagian I RUU yang dicadangkan mengandungi perkara permulaan.

 

(a)       Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan memberi Menteri kuasa untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa RUU yang dicadangkan;

 

(b)       Fasal 2 mengandungi takrif perkataan dan ungkapan tertentu yang digunakan dalam RUU yang dicadangkan; dan

 

(c)        Fasal 3 mengandungi peruntukan mengenai pemakaian luar wilayah RUU yang dicadangkan. Jika mana-mana kesalahan di bawah RUU yang dicadangkan dilakukan oleh mana-mana orang, walau apa pun kerakyatan atau kewarganegaraannya, di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan itu seolah-olah kesalahan itu telah dilakukan di mana-mana tempat di dalam Malaysia. RUU yang dicadangkan hendaklah terpakai jika, bagi kesalahan yang berkenaan, berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh oleh pelakuan kesalahan itu ialah warganegara Malaysia;

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Sebelum saya mengemukakan Bahagian yang seterusnya, izinkan saya memaklumkan kepada Dewan yang Mulia ini bahawa Kerajaan bercadang untuk meminda Fasal 4 dan 5 seperti mana yang diperuntukkan dalam RUU ini.

 

  1. Ini menunjukkan Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri amat prihatin dan bersedia untuk menerima segala pandangan dan cadangan bagi menjadikan RUU ini sebagai satu RUU yang inklusif dan komprehensif.

 

 

  • Bahagian II yang Asal RUU yang dicadangkan mengadakan peruntukan mengenai kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan berita tidak benar.

 

  • Fasal 4 bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan dengan diketahuinya mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar. Hukuman bagi kesalahan di bawah fasal ini ialah denda sehingga lima ratus ribu ringgit atau pemenjaraan sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya sehingga tiga ribu ringgit bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Sebagai tambahan kepada hukuman itu, Mahkamah boleh memerintahkan agar permohonan maaf dibuat sebagai contoh membuat permohonan maaf di mahkamah terbuka atau dengan menerbitkannya di dalam akhbar;
  • Fasal 5 bertujuan untuk mengadakan peruntukan mengenai kesalahan menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah fasal 4. Hukuman bagi kesalahan di bawah fasal ini ialah denda sehingga lima ratus ribu ringgit atau pemenjaraan sehingga sepuluh tahun atau kedua-duanya;

 

  • Fasal 6 bertujuan untuk mengenakan kewajipan ke atas mana-mana orang untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar. Mana-mana orang yang tidak melaksanakan kewajipan ini melakukan suatu kesalahan di bawah fasal Hukuman bagi kesalahan di bawah fasal ini ialah denda sehingga satu ratus ribu ringgit, dan dalam hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya sehingga tiga ribu ringgit bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan;

 

  • Bahagian III RUU yang dicadangkan mengandungi peruntukan yang berhubungan dengan kuasa Mahkamah untuk memerintahkan penghapusan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

 

  • Fasal 7 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kuasa Mahkamah untuk memerintahkan penghapusan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar atas permohonan secara ex parte oleh orang yang disentuh oleh penerbitan itu;

 

  • Fasal 8 memperkatakan tentang pengetepian perintah untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar;

 

  • Fasal 9 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi kuasa Mahkamah untuk memerintahkan penghapusan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika orang yang terhadapnya perintah di bawah fasal 7 dibuat tidak menghapuskan penerbitan itu;

 

  • Bahagian IV RUU yang dicadangkan mengandungi peruntukan pelbagai.

 

  • Fasal 10 adalah berhubung dengan peruntukan mengenai persubahatan;

 

  • Fasal 11 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bahawa tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi suatu kesalahan di bawah RUU yang dicadangkan kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya;

 

  • Fasal 12 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bahawa tiap-tiap kesalahan yang boleh dihukum di bawah RUU yang dicadangkan ialah kesalahan boleh tangkap;

 

  • Fasal 13 memperkatakan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan;
  • Fasal 14 memberi Menteri kuasa untuk meminda Jadual Pertama dan Kedua kepada RUU yang dicadangkan melalui perintah yang disiarkan dalam Warta;

 

  • Jadual Pertama dan Kedua memperuntukkan mengenai borang dan perintah Mahkamah yang akan digunakan di bawah RUU yang dicadangkan.

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Sedar atau tidak, berita tidak benar memberikan impak negatif kepada keselamatan dan kestabilan negara. Perpaduan intra dan inter kaum yang terbina di samping keutuhan wilayah yang dibentuk di Malaysia mampu terhakis disebabkan oleh berita tidak benar. Cerita direka, ditokok tambah atau diubah suai dengan pelbagai tujuan mengikut pihak yang menyebarkannya tanpa menghiraukan kesan yang bakal timbul kepada nusa dan bangsa. Sedikit demi sedikit, berita tidak benar akan meracuni minda pembaca dan mendorong mereka untuk mempercayai fakta yang tidak benar yang mampu membinasakan kesejahteraan masyarakat.

 

  1. Secara kesimpulannya, RUU ini menunjukkan langkah serius Kerajaan untuk menangani masalah penyebaran berita tidak benar selaras dengan perkembangan teknologi Oleh itu, usaha Kerajaan dalam perkara ini amat penting untuk menangani penularan berita tidak benar agar orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar atau menyebarkan berita benar (true news).

 

Pada masa yang sama, RUU ini juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan Negara malah akan terus memastikan keselamatan Negara terus terpelihara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 March 2018 3:41 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: