Kategori Berita Utama

Ultraman King digelar sebagai ‘Allah’ punca KDN haramkan komik

7 MAC : Pengharaman buku komik ‘Ultraman The Ultra Power’ dibuat kerana kandungannya merujuk watak Ultraman King yang digelarkan sebagai “Allah”.

Menurut Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran KDN, kandungan seperti itu dikhuatiri boleh merosakkan akidah anak-anak umat Islam dengan menyamakan “Allah” dengan Ultraman.

Ini kerana watak ultraman menjadi kesukaan kanak-kanak dan  kandungan yang merujuk watak Ultraman King sebagai “Allah” akan dikhuatiri akan memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai.

ultramankingBagaimanapun jelas KDN, pengharaman berkenaan hanya dikenakan terhadap terbitan ‘Ultraman The Ultra Power’ sahaja tanpa melibatkan komik atau watak ultraman lain.

“Alasan kenapa buku ini dikenakan perintah larangan adalah kerana kandungan buku itu menggunakan watak Ultraman King yang digelarkan sebagai “Allah”.

“KDN mengenakan perintah larangan terhadap bahan penerbitan ini disebabkan watak Ultraman menjadi idola kepada kanak-kanak yang boleh mengelirukan pemikiran kanak-kanak terhadap sifat “Allah” yang disamakan dengan Ultraman King.

“Kalimah Allah merupakan kalimah suci bagi umat Islam di Malaysia. Kalimah Allah juga merupakan kalimah sensitif dan boleh mencetuskan provokasi bagi umat Islam sekiranya disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab jika tidak dibendung. Ia boleh memudaratkan ketenteraman awam dan boleh menggemparkan fikiran orang ramai,” demikian menurut kenyataan itu.

Buku berbahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya dibuat oleh Network Printers.

Mengikut kenyataan tersebut, warta perintah larangan berkenaan berkuatkuasa pada 18 Februari lalu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan,” kata kenyataan itu.

Pihak yang disabitkan melakukan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 March 2014 4:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: