Kategori Berita Utama

UMNO bukan pencetus masalah dalaman PPBM

11 JUN: Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan menjaga tepi kain sendiri serta jangan mengaitkan UMNO dengan kemelut dalaman mereka.

EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Syed Saddiq sepatutnya menyibukkan diri menyelesaikan masalah yang melanda akar umbi parti itu yang dilihat semakin terhakis kepercayaan terhadap parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, tindakan bekas pendebat itu yang cuba mengheret Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri forum yang dinamakan sebagai Nothing To Hide hanyalah untuk menutup kepincangan mereka.

“Malah tindakan melabelkan Datuk Seri Najib sebagai pengecut dan penakut sekiranya tidak menghadiri forum itu adalah sikap paling kurang ajar dan tidak menghormati kepimpinan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Syed Saddiq pada hari ini bagi menjelaskan tuduhan terhadap pucuk pimpinan PPBM.

Tambah Nazir Hussin (foto), Syed Saddiq tidak perlu mengaitkan mana-mana pemimpin UMNO kerana akar umbi parti itu sendiri yang mengesa Tun Dr Mahahir menjelaskan kekayaan luar biasa anak-anaknya serta juga skandal ‘Nika Gee’ membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Syed Saddiq yang baharu setahun jagung dalam politik perlu cermin diri sendiri kerana parti itu sendiri yang mengamalkan sikap ‘Everything To Hide’ seperti yang didakwa EXCO Armada, Muhammad Hafiz Azhar, bukannya UMNO,” katanya.

Kelmarin, Hafiz yang juga EXCO Biro Keselamatan Armada bersama lebih 30 ahli parti mendesak pimpinan parti memberikan penjelasan berkenaan dakwaaan itu.

Nazir Hussin sebaliknya menyarankan Syed Saddiq membuat satu program yang membabitkan Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk menjawab segala tuduhan berkenaan.

“Nampaknya Syed Saddiq ini lebih sudu daripada kuah. Beliau langsung tidak menjelaskan dakwaan yang dibangkitkan ahli akar umbi itu tetapi sekadar mencari publisiti murahan dengan melemparkan bermacam-macam tuduhan kepada UMNO khususnya Najib.

“Beliau tak ubah seperti ayam jantan yang kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi!” kata Nazir Hussin dengan nada sindiran.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 June 2017 9:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: