Kategori Berita Utama

UMNO makin kukuh, pembangkang ‘kuchalana’

19 NOV: Datuk Seri Najib Razak berkata, parti UMNO semakin kukuh berbanding pembangkang yang keadaannya ‘kuchalana’ atau berserabut.

Presiden UMNO itu berkata, ia sekali gus membolehkan parti menerusi Biro Kebajikannya memberi tumpuan penuh dalam usaha membantu rakyat di seluruh negara terutama di luar bandar.

Perdana Menteri berkata, biarkan mereka (pembangkang) dalam keadaan ‘kuchalana’ tetapi UMNO tetap kukuh dan sentiasa membantu rakyat semua lapisan masyarakat.

“Apabila UMNO kuat dan relevan maka ia juga akan membantu mengukuhkan ekonomi, meningkatkan hasil negara seterusnya lebih ramai rakyat akan dapat dibantu.

“Dalam Bajet 2018 yang saya bentangkan baru-baru ini, kita akan agihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada tujuh juta penerima termasuk keluarga miskin, pekebun, petani, nelayan dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kerajaan turut menyediakan peruntukan besar kepada pembangunan luar bandar,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika melancarkan Program UMNO Bantu Rakyat Fasa 2 dan Jom Simpan Bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Masjid Kampung Tanjung Medang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Seramai 3,163 murid Tahun Satu daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) daripada 55 sekolah di Parlimen Pekan menerima sumbangan deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM316,300.

Setiap murid menerima sumbangan RM100 daripada PTPTN dan RM50 tambahan yang diberi kerajaan sebagai insentif khas Geran Sepadan.

Pada majlis itu, Biro Kebajikan UMNO turut mengagihkan 2,000 kit sumbangan kepada keluarga miskin.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 November 2017 1:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: